DAP kecam BN guna SB untuk bantu hadapi pilihan raya


KUALA LUMPUR, 22 Julai — DAP hari ini mengecam tindakan parti kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dilihat turut menggunakan anggota pasukan polis daripada Unit Cawangan Khas untuk membantu BN beroleh kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Setiausaha Agung parti berkenaan, Lim Guan Eng menegaskan, tindakan BN menggunakan Cawangan Khas juga dilihat sebagai alat politik untuk melemahkan keyakinan umum kepada Pakatan Rakyat.
“DAP tidak mempunyai pengetahuan tentang penyusupan komunis dan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan elemen komunis,” kata Ahli Parlimen Bagan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Lim turut mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk mengemukakan bukti bagaimana elemen komunis telah meresap ke dalam DAP.
“Adakah menteri dalam negeri berani untuk mengarahkan Cawangan Khas untuk menunjukkan bukti kepada rakyat bagaimana komunis telah menyusup ke dalam DAP?
“Jika Hishamuddin gagal melakukan demikian, maka sebenarnya Cawangan Khas yang sudah disusup oleh Umno!” tegas Lim yang juga Setiausaha Agung DAP.
Ketua Menteri Pulau Pinang ini lagi turut menjelaskan, “taktik terdesak ini tidak berbeza daripada Umno yang mempersoalkan kesetiaan DAP terhadap Malaysia.
Laporan media sebelum ini menyebut, Ketua Penolong Pengarah E2 (M) dalam Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Cawangan Khas, Mohd Sofian Md Makinuddin telah dilaporkan berkata bahawa terdapat elemen JI yang cuba menyusup masuk PAS sementara elemen komunis cuba menyusup ke dalam DAP.
Mengulas lanjut, Lim menegaskan, tindakan Mohd Sofian yang mengeluarkan kenyataan secara terburu-buru tanpa merujuk kepada DAP menunjukkan Cawangan Khas sangat yakin untuk menyerang DAP walaupun tanpa asas yang kukuh.
“Dengan memilih untuk membuat pengumuman awam tanpa terlebih dahulu memaklumkan pucuk pimpinan DAP, Mohd Sofian dan Cawangan Khas berkelakuan tidak profesional dan tidak bertanggungjawab.
“Ini tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan oportunis politik oleh Cawangan Khas untuk membuat serangan tidak berasas ke atas DAP tanpa menunjukkan bukti,” tambah Lim lagi.
Selain itu, Lim turut mempersoalkan tindakan Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin, yang sepatutnya  ditangkap dan didakwa kerana ingin memulihkan semangat komunisme dengan menubuhkan sekretariat untuk bekerjasama dengan Liga Pemuda Komunis China (CYL) pada Oktober 2009.
“Berbanding dengan dakwaan susupan komunis ke dalam DAP, sekretariat tetap antara CYL dan Pemuda Umno adalah hubungan langsung yang dilakukan secara disedari dengan persetujuan penuh Khairy Jamaluddin.
“Pegawai atasan Cawangan Khas seperti Mohd Sofian harus meletak jawatan kerana gagal bertindak terhadap Khairy dan Pemuda Umno yang menjalin hubungan langsung dengan CYL tetapi sebaliknya memilih untuk mencari ‘bayang-bayang komunis’ yang tidak wujud dalam DAP,” tegasnya lagi.
Tambah Lim lagi, cubaan mengaitkan DAP dan Komunis adalah politik ketakutan yang ditimbulkan Umno untuk menakutkan orang Melayu supaya terus menyokong Umno dan BN.
“Kempen memburuk-burukkan oleh Cawangan Khas terhadap DAP ini adalah sebahagian daripada taktik 3D Umno iaitu ‘denial’ (penafian hubungan komunis mereka sendiri), ‘dirty tactics’ (taktik kotor untuk menakut-nakutkan pengundi) dan ‘deception’ (penipuan untuk menghubungkan PR dengan puak pelampau dan komunis),” tambahnya.
Lim bagaimanapun turut menjelaskan, taktik terdesak sepertiini tidak lagi berguna, kerana rakyat jelasnya tidak lagi mahu hidup dalam kegelapan.
“Rakyat ingin hidup dalam pencerahan dengan martabat keinsanan, integriti, kebebasan maklumat, kebenaran, keadilan dan demokrasi.”
.

0 Komen pengunjong :