Saya sedia disiasat semula – Anwar


KUALA LUMPUR 13 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia disiasat semula berhubung isu pemilikan 20 akaun induk bernilai RM3 bilion sebagaimana yang didakwa bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid.
Kata Anwar, beliau bersedia disiasat secara terbuka walaupun pada tahun 1999 kes berkenaan telah disiasat dan ditutup Badan Pencegahan Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Isu ini sengaja diulang, ini helah kerajaan untuk hadapi pilihan raya, tak mengapalah…, walaupun kes ini telah disiasat dan ditutup, saya rela disiasat secara terbuka,” katanya pada sidang media di Parlimen semalam.
Sebelum ini, Abdul Murad telah mengedarkan akuan berkanun itu pada Oktober 1999 yang antara lain mendedahkan pemilikan kira-kira 20 akaun induk Anwar bernilai lebih RM3 bilion.
Pengarah Siasatan BPR, Abdul Razak Idris sebelum ini juga pernah membuat akuan bersumpah bagi membuktikan bahawa siasatan telah dijalankan dan ditutup kerana tiada kes.
Isu ini berbangkit semula baru-baru ini apabila Panel Penilaian Operasi SPRM mencadangkan Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali disiasat semula berkaitan dakwaan memiliki aset dan saham yang melebihi pendapatan penjawat awam antara 1995 dan 1997.
Dalam sidang media itu, Anwar mengemukakan satu kenyataan bersumpah (SD) yang membebaskannya daripada dakwaan mempunyai aset dan wang tunai bernilai RM3 bilion.
Kenyataan bersumpah itu dibuat oleh Abdul Razak.
Anwar berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang berhubung penyiaran laporan tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu dilapor berkata, Anwar perlu tampil memberi penjelasan berhubung perkara sama.
Katanya, jika Anwar merasakan dakwaan berkenaan tidak betul, beliau perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang mendedahkannya.
Bagaimanapun, Anwar pada hari yang sama berucap pada program Dialog Ekonomi di Petaling Jaya menyambut cabaran Muhyiddin dan bersedia menyerahkan segala dokumen pemilikan hartanya dengan syarat Timbalan Perdana Menteri itu terlebih dahulu mengisytiharkannya.
Ketua Umum KEADILAN itu juga sedia untuk disiasat sepenuhnya berhubung dakwaan berkenaan dan menyerahkan semua akaun terbabit.
“Jika Muhyiddin setuju, maka siasatan itu perlu disegerakan,” katanya.
.

0 Komen pengunjong :