Dewan
Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa dukacita dengan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung dakwaan bahawa bakal menantunya
Daniyar Nazarbayev terlibat dengan penipuan. Ini ekoran pendedahan
dokumen oleh mahkamah Amerika Syarikat mengenai Daniyar
yang didakwa menipu bapa tirinya seunit kondominium bernilai AS$20 juta
(RM62 juta) dan memasuki Universiti Columbia menggunakan dokumen palsu.
Jika
benar dakwaan ini, DPPM merasa sedih kerana PM Malaysia begitu banyak
diaibkan diperingkat antarabangsa. Sudahlah diri beliau dikaitkan dengan
skandal rasuah pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM 3.1 bilion
ringgit, bakal menantunya pula kini dituduh menipu. Seolah-olah PM
Malaysia mempunyai terlalu ramai musuh dari dalam dan luar negara dan
semua pihak yang memusuhinya mahu sangat beliau tersungkur jatuh sebelum
PRU ke 13 sehingakan satu demi satu masalah peribadi beliau dan ahli
keluarganya dibongkarkan.
DPPM merasakan Datuk Seri Najib adalah
Perdana Menteri yang paling banyak mencipta kontroversi peribadi
terutama dalam keluarganya. Seperti perumpamaan Melayu, ‘bapa borek,
anak rintik’, beliau seperti turut mengheret sama ahli keluarga beliau
dalam pelbagai skandal yang dihadapinya.
DPPM
juga meminta supaya PM berhati-hati dalam segenap aspek kerana dirinya
dan keluarganya sentiasa menjadi fokus media dan pengamal politik.
Jangan pula nanti, banyak lagi pekung yang terdedah melibatkan peribadi
beliau dan ahli keluarganya. DPPM tidak berharap, beliau dijatuhkan
kerana isu-isu remeh dan peribadi yang disebabkan kegagalan beliau
mengawal kehidupan keluarganya.
Justeru, DPPM menasihatkan PM
supaya menyiasat dengan teliti latar belakang bakal menantunya supaya
beliau tidak menyesal di kemudian hari. Ini menepati dengan kehendak
syariat Islam yang meminta ibu bapa bersikap teliti dalam memilih
pasangan hidup anak-anak mereka. Dalam keadaan belum diijabkabulkan,
bakal menantunya sudah menghadapi pelbagai dakwaan, adakah Datuk Seri
Najib mampu memastikan menantu beliau tidak bermasalah dan mampu
memberikan kebahagiaan kepada anaknya selepas perkahwinan mereka nanti.
DPPM
percaya, Pakatan Rakyat akan berpolitik secara sihat dan matang dan
akan menentang beliau dalam Pru ke 13 dengan penuh maruah, bukan secara
politik kotor yang mengaibkan peribadi beliau sebagaimana yang dilakukan
pemimpin parti beliau terhadap pemimpin Pakatan Rakyat seperti yang
berlaku sekarang.
RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia
.
0 Komen pengunjong :