SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendakwa mentaliti
Barisan Nasional (BN) masih di takuk lama apabila Menteri Dalam Negeri,
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam sanggup membuat andaian
tidak masuk akal dengan mengatakan akan berlaku huru-hara sekiranya
Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) tidak berpihak kepada Pakatan Rakyat
(PR).
Hishammuddin semalam memberi kenyataan yang tidak menolak sebarang
kemungkinan terjadi huru-hara apabila ada pihak yang sanggup memperalat
dan memperkuda pelajar bagi meraih undi.
"Tidak timbul isu memperalatkan atau menggunakan para pelajar kerana
kita sedia maklum yang golongan pelajar kini sudah matang dan mampu
membuat keputusan sendiri," katanya yang ditemui dalam program Gempur
Kampus : Mansuh PTPTN dan Tuntut Pendidikan Percuma di sini, petang ini.
Beliau turut menggesa menteri patut turun padang bagi mendengar masalah dan luahan hati mahasiswa.
Program yang diadakan ini juga merupakan kemahuan mahasiswa sendiri
untuk berjumpa sambil duduk semeja membincangkan isu pendidikan percuma
ini.
"PKR sendiri sentiasa mengalu-alukan kedatangan mahasiswa dan tidak pernah timbul isu mempergunakan pelajar," tegasnya.
Turut menyertai program ini ialah Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) dan Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi).
Tujuannya ialah untuk memberi penerangan secara meluas di peringkat
akar umbi supaya mahasiswa dan golongan rakyat akar umbi faham mengenai
polisi pemansuhan PTPTN dan dasar pendidikan percuma.
.
0 Komen pengunjong :