PETALING
JAYA, 6 Jun — PKR hari ini menggesa perdana menteri tidak memandang
remeh isu dakwaan maklumat rahsia laporan penilaian prestasi kapal selam
negara, Scorpenen yang dijual kepada syarikat Perancis.
Sebaliknya,
Datuk Seri Najib Razak perlu membuat penjelasan kerana isu itu
melibatkan strategi pertahanan dan ancaman terhadap nyawa perajurit
negara.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini turut menggesa Angkatan
Tentera Malaysia (ATM), pihak polis, dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan.
"Isu
ini melibatkan strategi pertahanan negara kerana ia bermakna negara
asing telah memperolehi maklumat terperinci strategi pertahanan negara
dan mereka boleh memanipulasi kelemahan Scorpenen.
"Saya mendesak
Datuk Seri Najib Razak mengambil berat perkara ini dan membuat
penjelasan bagaimana dokumen itu boleh dijual oleh penasihat utama
beliau," katanya merujuk kepada Abdul Razak Baginda.
SUARAM
sebelum ini mendedahkan sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong,
Terasasi Limited yang dimiliki Abdul Razak Baginda dan ayahnya, Abdul
Malim Baginda, telah menjual dokumen sulit laporan prestasi Scopene
kepada syarikat Perancis, DCNS.
Melalui peguamnya, Joseph Breham, SUARAM mendakwa dokumen itu telah dijual pada harga €36 juta (RM142 juta).
Jelas
Azmin, perkara itu merupakan satu krisis nasional, dan beliau mendesak
Najib segera mengambil tindakan dengan mengemukakan penjelasan berhubung
perkara itu.
"Skandal Scorpenen ini sudah melangkaui persoalan rasuah dan penyelewengan dana rakyat.
"Ini
jelas menunjukkan bagaimana pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) tidak
teragak-agak mengabaikan keselamatan dan kemerdekaan negara demi
mengumpul kekayaan peribadi.
"Ia adalah pengkhianatan tertinggi
kepada negara yang perlu dijawab perdana menteri kerana kejadian itu
berlaku semasa Najib memegang jawatan selaku menteri pertahanan,"
tegasnya lagi kepada pemberita.
Sementara itu Pengerusi Majlis
Rundingan Keselamatan Keadilan (MRK), Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi
Abdul Khatab berpendapat skandal tersebut berpunca daripada pemusatan
kuasa di tangan menteri.
Menurut Abdul Hadi, daripada
pengalamannya yang pernah berkhidmat dengan angkatan tentera udara,
salah satu perkara yang harus dikaji serta merta ialah campur tangan dan
kuasa menteri yang terlalu besar sehingga mengenepikan pendapat
panglima-panglima angkatan tentera.
"Pengaruh menteri dan
lantikan politik serta pegawai bukan tentera yang terlalu besar hingga
mengenepikan pendapat panglima-panglima tentera.
"Pengaruh
berkenaan akan menjejaskan strategi dan taktik pertahanan negara, apatah
lagi ia bukan bidang kepakaran mereka," katanya yang mewakili bekas
tentera dan polis dalam majlis yang dipengerusikannya itu.
Beliau
turut menjelaskan, menteri dan pegawai bukan tentera adalah penentu
dasar pertahanan, sebaliknya, senario itu dilihat bertentangan kerana
mereka lebih memainkan peranan aktif termasuk dalam pembelian senjata
dan kelengkapan ketenteraan.
"Adalah menjadi tanggungjawab mereka
untuk memberi jaminan kepada rakyat bahawa segala langkah telah diambil
agar pembocoran maklumat itu tidak menjejaskan strategi pertahanan
negara," tambahnya.
.
0 Komen pengunjong :