Nampaknya kerajaan BN diterajui Umno terperangkap lagi. Himpunan Jutaan
Belia jauh sekali mahu menandingi Bersih 3.0 atau Himpunan Hijau di
Alor Setar.
Malang sungguh bukan keberkatan dicari, sebaliknya bala diundang.
Bayangkan kos sehingga USD300,000 (RM900,000) semata-mata membawa tiga
kumpulan pop Korea (K-pop) membuat persembahan pada program tersebut.
Jumlah berkenaan didedah Ketua setiausaha Kementerian Belia dan
Sukan, Datuk Mohid Mohamed. Itu belum lagi cerita soal maruah agama yang
digadai.
Bagi menutup malu menteri berkaitan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memohon maaf, seperti dilapor media massa.
Sebelum itu beliau memberitahu kos bagi membayar kumpulan Dal Shabet,
Teen Pop dan U-Kiss - akan ditanggung penaja, Stadium First Sdn Bhd.
Hari ini semua pihak kecoh. Lagi kecoh di laman Facebook. Walaupun
ada yang melatah dengan pembatalan ceramah Ustaz Azhar Idrus di
Putrajaya sehingga memaksa penganjur memindahkan ceramahnya ke sebuah
masjid di Puchong.
Di halaman depan Mingguan Malaysia terpampang dengan gahnya sekeping
gambar “jutaan” belia sedang mendengar ungkapan keramat Datuk Seri Najib
Razak.
Mereka dilihat membawa bendera negeri masing-masing. Belia dibekal
t-shirt bertulis “Saya sayang PM”. Mereka bertanding banner untuk
menentukan siapa yang lebih sayang PM.
PM pula memuji sakan. Katanya, inilah belia yang boleh menjadi contoh untuk menjamin masa depan negara.
“Yang sopan, yang berperaturan, dan boleh digantung harap. Belia yang
menendang polis bukanlah yang boleh menjamin masa depan negara,” ujar
Najib di majlis itu.
Pada awal mungkin ada yang teruja dengan kehadiran belia di himpunan
jutaan terbabit apabila media tradisional cuba memberi gambaran
kehadirannya seumpama Bersih 3.0.
Sebaliknya tiba-tiba semua orang terkejut besar. Sekeping gambar
muncul di Facebook (FB). Kemudian muncul lagi beberapa lagi gambar
artis-artis kecil dan mulus dengan pakaian lucah naik ke pentas. Mereka
menari ala erotik di hadapan PM kita.
Tarian penuh aksi. Tidak tahulah wasotiyyah mana yang digunapakai
Najib di saat itu. Astaghfirullahal azhim. Inilah yang disajikan
kerajaan BN kepada belia kita di atas nama IMalaysia.
Satu Malaysia terbeliak mata. Gara-gara FB kerajaan BN jadi kaget.
Menteri pun jadi gelabah. Banyak suara termasuk mufti bangkit menyatakan
rasa kesal dan jijik.
Jijik kerana kerajaan sanggup menghidangkan menu lucah untuk belia.
Tidak cukup dengan sukan lasak, persembahan tarian, artis, drag race,
teater Menora, drift, pemilihan pelakon secara terbuka, artis-artis
genit dari Korea diundang khas bagi menjamu mata.
Rupa-rupanya kata PM Najib, ia semata-mata demi orang muda. Kalau
begitu, benarlah laungan PM, "Kita harus tahu memilih antara intan dan
permata, siapa yang boleh menjamin hari esok lebih baik dari hari ini."
Nampaknya strategi memancing orang muda tidak mengena, bahkan jadi
senjata makan tuan. Malang sungguh PM kita semua yang dibuat tidak
menjadi.
-/Harakahdaily
.
0 Komen pengunjong :