KUALA LUMPUR-BN dilihat sengaja menunjukkan kuasanya apabila
mencabar kerajaan negeri Selangor berhubung isu pembekuan PTPTN terhadap
pelajar Unisel.
Bagaimanapun, tindakan itu hanya menunjukkan sikap sombong dan angkuh
BN kerana cabaran itu dibuat tidak kena pada masa dan tempatnya.
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, berkata
cabaran itu tidak kena pada tempatnya memandangkan tanggungjawab memberi
pendidikan terletak kepada kerajaan pusat.
"Ini bukan masa untuk cabar atau menguji kerajaan negeri Selangor. Ia
hanya menyusahkan bukan sahaja pelajar, tetapi ramai pihak.
"Kalau betul hendak minta kerajaan negeri tanggung pendidikan, jangan
ambil cukai dari Selangor," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily,
hari ini.
Tambah beliau lagi, biarpun PTPTN menarik semula pembekuan pinjaman
tabung itu, pelajar tidak perlu berterima kasih kerana ia merupakan hak
pelajar terbabit.
Malah, katanya kerajaan sewajarnya tidak perlu bertindak membekukan
pinjaman tersebut kepada pelajar baru Unisel hanya kerana berbeza
fahaman politik.
Selain itu, beliau berkata dasar federalisme tidak diamalkan di
negara kita menjadikan kerajaan BN sering mengamalkan dasar diskriminasi
dan pilih kasih terhadap mana-mana negeri yang diperintah Pakatan
Rakyat.
"Dalam isu royalti, Terengganu dan Kelantan telah disisihkan.
Sekarang, mereka cuba buat kepada Selangor pula. Mereka mengamalkan
kezaliman dalam tindak-tanduk mereka," tegas beliau lagi.
Awal minggu ini, PTPTN dengan disokong Menteri Pengajian Tinggi dan
Timblan Perdana Menteri bertindak membekukan pinjaman pelajar baru
Unisel dan meminta kerajaan negeri Selangor membuktikan keupayaan
memberikan pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar terbabit.
Bagaimanapun, tindakan tersebut ditarik balik hari ini selepas
mendapat pelbagai kritikan yang merasakan tindakan tersebut tidak wajar.
.
0 Komen pengunjong :