KUALA LUMPUR 19 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan surat akuan bersumpah
oleh bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Idrus.
Surat
akuan bertarikh 10 November 2009 yang dimuat naik dalam laman blog
beliau semalam memaparkan bukti bahawa siasatan terhadapnya berhubung
pertuduhan menyorok RM3 bilion dalam akaun asing dan mempunyai kaitan
dengan kepentingan barat telah pun ditutup kerana tiada sebarang kes.
“Siasatan telah dijalankan oleh satu Cawangan di bawah penyeliaan saya di Ibu Pejabat BPR Malaysia.
“Siasatan dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan teliti termasuk ke luar negara seperti Singapura dan United Kingdom.
“Siasatan itu menghasilkan tiada sebarang kes terhadap Datuk Seri
Anwar Ibrahim atau sesiapa berhubung dengan Akuan Bersumpah tersebut dan
saya mengarahkan siasatan itu ditutup,” kata Abdul Razak dalam akuan
tersebut.
Menurut akuan itu lagi, selaku Pengarah Siasatan BPR pada tahun 1999,
Abdul Razak telah mengarahkan siasatan dijalankan di bawah Akta
Pencegahan Rasuah 1997 ke atas akuan bersumpah oleh bekas Penolong
Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid yang diterbitkan dalam
akhbar-akhbar tempatan.
Bekas Pegawai Kanan BPR itu memberi keterangan akuan bersumpah itu
dalam kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan oleh Anwar terhadap
News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan bekas Ketua Pengarang
Kumpulannya, Datuk Abdullah Ahmad.
Anwar memfailkan saman itu pada 4 Julai 2003.
Artikel yang didakwa berunsur fitnah itu, disiarkan pada 2 Mac 2002.
Abdul Razak membuat kesimpulan bahawa dakwaan dalam akuan bersumpah
itu adalah tidak berasas dan mengarahkan supaya siasatan ditutup.
Murad menandatangani akuan bersumpah itu pada 20 Oktober 1999 –
kira-kira sebulan selepas Anwar ditahan selepas dipecat sebagai Timbalan
Perdana Menteri pada awal September tahun berkenaan.
Abdul Razak kemudiannya membuat akuan bersumpahnya mengenai perkara itu dan mengemukakannya kepada mahkamah.
Dalam perkembangan sama, Abdul Murad semalam dilapor menegaskan sudah
memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung isu berkenaan.
.
0 Komen pengunjong :