SHAH ALAM 18 Jun: Kenyataan dangkal Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menyerlahkan bahawa beliau secara
terang-terangan menghina rakyat, kata Shuhaimi Shafie.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda itu menyelar Nazri kerana
menyifatkan betapa berbahayanya air mineral dan garam yang boleh
menjatuhkan sesebuah kerajaan dengan menyasarkan perhimpunan aman Bersih
3.0 pada 28 April lalu.
“Beliau menuduh perhimpunan Bersih 3.0 sebagai gerakan subversif dan
komunis, dan menggunakan alasan terdapat ‘elemen-elemen’ atau dakwaan
‘ada satu atau dua demonstran’ yang mahu membunuh dan membuat kacau.
“Beliau nyata mahukan Bersih 3.0 bertanggungjawab akibat perbuatan
segelintir satu dua anak muda yang ‘naik darah oleh provokasi polis
upahan’ yang membuat kacau.
“Walau bagaimana dangkal sekalipun kenyataan oleh Nazri itu, ia
terpaksa dilakukan kerana tiada jalan lain. Kenyataan tersebut tidak
akan dikeluarkan oleh Perdana Menteri, dan Timbalan Perdana Menteri,”
katanya pada kenyataan.
Katanya, rakyat sama sekali tidak akan berdiam diri, sebaliknya
bangkit menolak sikap bongkak Umno Barisan Nasional (BN) pada Pilihan
Raya Umum (PRU) akan datang.
“Secara amnya, tidak ada seorang rakyat pun yang mahu pemimpin mereka
mengatakan mereka bodoh, dan tindak balas pahit itu akan dirasai
apabila Nazri Aziz mengira undi nanti. Orang di Perak pasti akan
menghukumnya kerana kenyataan ini.
“Yakinlah, tindakan memperkecilkan rakyat dengan kaedah menghina
tahap IQ rakyat sebegini sememangnya akan ada tindak balas yang nyata.
Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan di negeri-negeri maju yang
penduduknya rata-rata berpendidikan tinggi seperti Selangor,” kata Ketua
Penerangan KEADILAN Selangor itu lagi.
Beliau mengingatkan Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas itu
bahawa kuasa rakyat yang bangkit bakal meleyapkan Umno BN sekaligus
dapat mengajarnya supaya tidak lagi mendabik dada.
“Nazri harus beringat, hayat politiknya juga sama panjang dengan
hayat Umno BN, akan tamat pada PRU 13 akan datang. Beliau boleh mendabik
dada sekarang dan mengecilkan pemikiran rakyat, tetapi percayalah,
rakyat hanya menanti masa untuk menguburkan Nazri, Umno BN dan semua
konco-konco jahat mereka!
“Sepertimana mata pena lebih tajam daripada mata pedang, air dan
garam, termasuk coretan pangkah pada kertas undi kepada calon Asal Bukan
Umno (ABU), bakal menghasilkan kerosakan maha dahsyat kepada Umno dan
BN dengan cara yang lebih menggerunkan dan lebih menakutkan daripada
peluru mahupun bom,” kata Shuhaimi lagi.
.
0 Komen pengunjong :