(Gambaran Zunar tentang sikap pemimpin kerajaan dalam membanteras rasuah)
KUALA LUMPUR: Kartunis Zunar atau nama sebenarnya
Zulkiflee Anuar ul Haq menyifatkan 1 Malaysia adalah lambang rasuah
bukannya lambang perpaduan.
Oleh itu, sebagai kartunis beliau
menolak untuk bernaung di bawah lambang satu 1Malaysia kerana,"Semua
perasuah bernaung di bawah lambang tersebut."
Zunar mengulas
kenyataan Perdana Menteri supaya kartunis menyokong gagasan "1Malaysia"
semalam yang menggesa para kartunis supaya menerapkan mesej "1
Malaysia" melalui karya-karya.
Datuk Seri Najib berkata demikian dalam majlis PM Bersama Kartunis di Pasar Seni semalam.
Harakahdaily
difahamkan, Zunar menolak anugerah dan wang tunai sekitar RM10,000 oleh
penganjur kerana program tersebut bukan program seni tetapi politik.
Ini kerana, penganjurnya adalah dua pemimpin Umno iaitu Datuk Abdul
Azeez Rahim (Ketua Putra Umno) dan Datuk Suhaimi Shadan (Pengerusi Biro
Ekonomi Pemuda Umno).
Walau pun kenyataan Perdana Menteri itu adalah satu gesaan, tetapi
sekiranya ia datang dari mulut Perdana Menteri, ia ditafsir sebagai
arahan, kata Zunar.
Bagi beliau, kartunis adalah insan seni yang melahirkan karya-karya
berperanan, antara yang paling besar adalah mengkritik kepincangan,
rasuah, salah guna kuasa dan kezaliman pemerintah.
Kerana itu, katanya, Perdana Menteri tak perlu merendahkan martabat kartunis kepada propogandis.
"Karya-karya
kartun harus dibiarkan berkembang, bukan dipandu untuk menyokong dasar
kerajaan. Karya-karya kartun hanya akan tumbuh subur jika kartunis
diberi kebebasan berkarya," katanya.
Selain itu, dengan mengajak
kartunis menyokong gagasan 1Malaysia, PM mempamerkan sifat hipokrit
kerana dalam pemerintahan Najib, kebebasan kartunis paling teruk
disekat.
"Selain pengalaman saya sendiri yang ditangkap dan
buku-buku diharam, semua kartunis-kartunis lain yang berkarya di
media-media arus perdana dilarang dari mengkritik kerajaan," kata Zunar
dalam kenyataannya.
Akta-akta yang menyekat kebebasan kartunis seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta akta Hasutan masih dipertahan PM.
Selain itu, tambah beliau, karya-karya kartun juga dilarang dalam kempen PRU akan datang.
"Secara
gambarannya, ini bererti Najib mengikat tangan dan kaki kartunis dengan
akta dan peraturan dan mahukan kartunis menyokong beliau?" dakwa Zunar.
Mengenai saranan supaya kartunis menyokong kerajaan menerapkan
nilai-nilai perpaduan kaum melalui karya-karya mereka, ia adalah wajar
tetapi pihak yang hendak disokong mesti terlebih dahulu menyuburkan
perpaduan kaum.
"Perpaduan kaum unjuran Najib adalah satu
'wayang' politik kerana beliau ke sana kemari menjaja '1Malaysia',
tetapi pada masa yang sama mempelopori dan mendokong NGO pemecah belah
kaum seperti Perkasa, Pekida dan lain-lain," katanya.
Kerana itu, 1 Malaysia tidak dilihat lambang perpaduan kaum, sebaliknya adalah lambang rasuah.
Kerana itu, kartunis seharusnya mengkritik pentadbiran Perdana Menteri dan 1Malaysia, bukan menyokongnya! tegas Zunar.
.
0 Komen pengunjong :