KUALA
TERENGGANU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan
muzakarah bersama Umno diadakan sebelum pilihan raya umum ke-13
(PRU-13).
Bagaimanapun, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan
Umno perlu mematuhi beberapa perkara yang akan ditentukan oleh PAS
sekiranya ingin bersatu dan mencapai kesefahaman.
“Kalau Umno nak bersatu (dengan PAS), tukar dasar kebangsaan dia,
bubuh (letak) Islam. Bukan buat keputusan secara berseorangan, tetapi
perlu buat secara rasmi bahawa Umno tukar dasar kebangsaan kepada Islam.
“Umno kena terima PAS sekali dengan Pakatan Rakyat. Bila Umno
dah ubah dasarnya, mereka kena bersama dengan Pakatan,” katanya kepada
pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung ke-37 PAS Kawasan Kuala
Terengganu di Markaz Tarbiyyah PAS di Kuala Ibai, dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkara disebalik
kesudian PAS untuk mengadakan muzakarah dengan Umno sebagai suatu
permulaan kepada kerjasama parti demi penyatuan orang Melayu khususnya
umat Islam.
Katanya muzakarah diminta oleh agama Islam dan sepatutnya adalah untuk kebaikan semua pihak dengan niat yang benar-benar ikhlas.
Rabu lalu, Nik Aziz menyatakan persetujuannya agar PAS membuka pintu
untuk bermuzakarah dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
termasuk Umno.
Kenyataannya itu mendapat reaksi positif Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin bahawa Umno bersedia untuk bermuzakarah dengan PAS
asalkan tujuannya untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.
Fahaman politik
DI
LANGKAWI, Pemimpin tertinggi PAS yang berbeza pendapat dengan Mursyidul
Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kesediaannya mengadakan
muzakarah dengan Umno tidak seharusnya menghalang muzakarah
diadakan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata muzakarah memberi peluang kepada kedua-dua parti
menyatakan pendapat dan mencari jalan menyatupadukan umat Islam yang
berpecah akibat fahaman politik.
“Nik Aziz boleh bagi pendapat dia dan pemimpin lain dalam PAS tidak
patut halang,” kata Dr Mahathir kepada pemberita semasa diminta mengulas
percanggahan pandangan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dengan
Nik Aziz dalam isu itu.
Ketika ditemui selepas merasmikan bangunan baru Tenaga Nasional
Berhad (TNB) Langkawi di sini hari ini, Dr Mahathir berkata pemimpin PAS
harus datang dengan fikiran terbuka dan sanggup memberi pendapat.
“Setuju atau tidak adalah soal lain… bolehlah muzakarah apa salahnya,” katanya.
Muzakarah dinanti-nanti
Di
KULIM, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom berkata muzakarah antara kumpulan umat Islam di negara ini
seperti Umno dan PAS sememangnya dinanti-nantikan oleh semua umat Islam
dan orang Melayu di negara ini.
Bagaimanapun, katanya muzakarah itu hendaklah dilakukan dengan niat yang ikhlas dan tulus.
“Tetapi kita tidak mahu isu ini kelak seperti yang pernah berlaku
lebih kepada satu polemik politik dan jika ini berlaku hanya akan
membuang masa sahaja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bicara
Intelek Bersama Guru Pendidikan Islam dan Guru J-Qaf di Dewan Besar
Kolej Mara Kulim di sini hari ini.
Hampir 500 guru agama dari sekolah menengah dan rendah daerah Kulim/Bandar Baharu hadir pada majlis yang diadakan sehari itu.
Jamil Khir berkata atas dasar agama, bangsa dan negara, beliau yakin majoriti rakyat negara ini tidak menolak muzakarah itu.
Katanya cadangan tersebut, jika terbit dari ketulusan hati, masa
depan perpaduan dan perhubungan erat rakyat di negara ini akan lebih
terjamin selaras dengan tranformasi kerajaan kini.
-:
freemalaysiatoday
0 Komen pengunjong :