KUALA LUMPUR: Penangguhan perbicaraan kes tipu bekas
Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy berkaitan skandal Zon Bebas
Pelabuhan Klang (PKFZ) dilihat semata-mata bertujuan menyembunyikan
kebodohan kerajaan Umno sebelum pilihan raya.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar
berkata, jika perbicaraan tersebut diteruskan, ia akan mendedahkan
lebih banyak lagi kebodohan kerajaan Umno Barisan Nasional sehingga
boleh ditipu oleh Chan yang ketika itu adalah Menteri Pengangkutan.
Jika terlalu banyak kebodohan kerajaan terdedah sebelum pilihan raya,
Umno bimbang perkara itu akan menjejaskan peluangnya, klata beliau.
"Apa
yang lebih menarik, Umno tidak boleh menyalahkan (Tun) Abdullah (Ahmad
Badawi) semata-mata kerana kerajaan di bawah (Tun) Dr Mahathir (Mohamad)
juga ditipu apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang
memperakui bahawa (bekas Menteri Pengangkutan yang juga bekas Presiden
MCA, Tun Dr) Ling Liong Sik telah menipu kerajaan Malaysia membabitkan
RM1.08 bilion dalam projek yang sama," katanya.
Menurut Mahfuz,
memang menjadi trend Umno dan Dr Mahathir sendiri untuk menjadikan
Abdullah sebagai kambing hitam apabila dibangkitkan apa jua kesalahan
pentadbiran kerajaan Umno.
"Tetapi dalam hal PKFZ, Dr Mahathir
dan Umno tidak boleh salahkan Abdullah sahaja kerana beliau pun kena
tipu juga," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Perbicaraan kes tipu tersebut ditangguhkan ke 31 Oktober depan selepas pihak pendakwaan memohon penangguhan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan memberitahu mahkamah bahawa
pejabat Peguam Negara masih belum membuat keputusan mengenai
representasi pihak pembelaan dan memerlukan masa yang lebih panjang
untuk membuat keputusan muktamad berhubung permohonan berkenaan.
Mahfuz bagaimanapun menyifatkan usaha untuk menyembunyikan kebodohan
kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya adalah usaha
yang sia-sia dan "seperti menutup bangkai gajah dengan daun sehelai".
"Rakyat sudah tahu kerajaan Umno BN begitu bodoh dan dengan mudah ditipu oleh menterinya sendiri dalam isu PKFZ itu," katanya.
Malah, katanya lagi, usaha terdesak itu tidak boleh menutup pelbagai
kesalahan lain yang lebih besar yang dilakukan oleh kerajaan Umno BN.
"Bukan isu PKFZ sahaja yang menyalakan api kemarahan rakyat menjelang
pilihan raya umum akan datang, isu (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib
(Tun Razak) lari dari inkuiri mahkamah Perancis berhubung urusniaga
kapal selam Scorpene, isu kekejaman polis dalam perhimpunan Bersih 3.0
lalu dan banyak lagi isu lain malah tidak habis-habis tindak tanduk Umno
BN yang mencetukan kemarahan rakyat.
"Sebab itulah tindakan
tidak tentu arah menangguhkan perbicaraan itu sehingga selepas pilihan
raya tidak akan memberi apa-apa kesan," kata Mahfuz.
Hakim
Datuk Zamani Abdul Rahim, yang juga hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang
yang ditugaskan mengendalikan perbicaraan kes itu memberikan reaksi yang
negatif terhadap tindakan pihak pendakwaan memohon menangguhkan kes
itu.
Zamani juga dengan sinis berkata beliau tidak mahu sesiapa
mempunyai tanggapan bahawa beliau 'makan angin' setiap kali hadir di
mahkamah Kuala Lumpur berikutan terpaksa menangguh perbicaraan
berkenaan.
0 Komen pengunjong :