JOHOR BAHRU:
Naib Presiden PAS Salahudin Ayub mengecam politik samseng dan fitnah
yang digunakan Umno BN terhadapnya selepas pengumuman beliau untuk
bertanding di Johor pada PRU 13 nanti.
Beliau yang juga Ahli
Parlimen Kubang Kerian, Kelantan turut mencabar Umno BN khususnya di
negeri Johor untuk melawannya secara anak jantan dalam pilihan raya,
bukannya menggunakan kaedah tidak bertamadun memfitnah dan mengupah
samseng menakut-nakutkannya.
"Saya mengecam budaya politik
samseng dan fitnah yang mereka taburkan kepada saya. Ini menunjukkan
bahawa mereka takut untuk berdepan dengan saya secara bersemuka.
"Saya
cabar pimpinan Umno BN agar bertanding melawan saya secara anak jantan.
Saya bersedia pada bila-bila masa, pada mana-mana tempat untuk
bersemuka dengan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Tanah Rakyat (Tanah) di Plaza Angsana di sini semalam.
Sebelum
ini beberapa bloger upahan Umno cuba menjatuhkan kredibilitinya dengan
menyebarkan fitnah kononnya beliau terlibat skandal dengan seorang
perempuan.
Selain fitnah jahat itu, Salahudin ketika mahu bertemu
penduduk di Skudai Kiri baru-baru ini juga diserang dan diugut oleh
samseng upahan yang cuba menghalangnya.
"Demi Allah, saya menyatakan disini bahawa apa yang mereka katakan pada saya itu adalah fitnah.
"Saya tidak akan undur kebelakang atas keputusan saya untuk bertanding di negeri Johor ini," katanya.
Sejak
beliau mengesahkan mahu balik bertanding di negeri kelahirannya di
Johor pada PRU 13 akan datang, banyak pihak khususnya pemimpin Umno di
negeri itu dilihat tidak senang duduk.
Kewibawaan Salahudin serta penerimaan rakyat Johor terhadapnya cukup menggusar Umno dan BN Johor setakat ini.
.
0 Komen pengunjong :