KUALA LUMPUR 30 Mei: “Keengganan beliau (Najib) untuk berdebat dengan
saya (Anwar) berkaitan dasar-dasar ekonomi hanya mengesahkan dakwaan
mutakhir ini bahawa beliau (Najib) sememangnya memimpin sebuah kerajaan
yang lemah – baik dari aspek ekonomi, moral dan juga intelektual,” kata
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau
berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini berikutan keengganan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sehingga kini enggan
berdebat bersamanya walaupun tawaran debat itu berlarutan sejak tahun
lalu.
Ketua Umum KEADILAN itu turut menempelak tindakan Najib yang juga
Menteri Kewangan menipu rakyat kononnya Pakatan Rakyat (Pakatan)
menjanjikan gaji minimum sebanyak RM4,000.
“Satu daripada penjajaran semula ekonomi yang dicadang (Pakatan)
ialah mengubah dasar yang menumpu kepada sasaran ekuiti 30 peratus
Bumiputera yang disalahguna BN kepada sasaran ekonomi berteraskan
pendapatan minima RM4,000 sebulan untuk setiap isi rumah bagi setiap
keluarga dalam tempoh lima tahun pentadbiran Pakatan Rakyat.
“Malang sekali apabila Najib gagal membezakan antara gaji minimum
yang dikuatkuasa melalui undang-undang buruh dan sasaran pendapatan isi
rumah yang dicapai melalui kebijakan ekonomi,” katanya.
Anwar sebelum ini menegaskan gaji minimum yang ditawar Pakatan ialah
RM1,100 sebulan dan ia jauh lebih baik berbanding yang diumum Najib
iaitu antara RM800 hingga RM900 sebulan.
“Pendapatan setiap keluarga mesti ditingkat sejajar peningkatan kos
kehidupan dan mereka seharusnya meraih pendapatan lebih tinggi dari
garis kemiskinan agar mampu membuat pelaburan untuk masa depan anak-anak
mereka.
“Justeru, sasaran ekonomi yang ditetapkan Pakatan agar jumlah
pendapatan setiap keluarga Malaysia sekurang-kurangnya mencecah RM4,000
sebulan bukan sahaja tepat secara moral, bahkan mampu dicapai menerusi
gabungan dasar ekonomi pro-rakyat yang dicadangkan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Anwar menasihatkan Najib tampil ke medan debat
sebagai mempertahankan pendirian Presiden Umno itu yang tidak bersetuju
dengan dasar ekonomi yang ditawar Pakatan.
“Najib tidak wajar mengkritik dasar ekonomi Pakatan apabila beliau
sendiri terus mengelak untuk berdebat secara terbuka tentang dasar-dasar
tersebut.
“Jika beliau yakin bahawa Pakatan Rakyat tidak berkemampuan untuk
melaksanakan tawaran-tawaran ekonomi tersebut, beliau seharusnya berani
untuk mempertahankan pendirian beliau itu dalam perdebatan terbuka,”
katanya lagi.
.
Mondy diarah bayar RM20,000 kepada Ebit Lew
1 week ago
0 Komen pengunjong :