Dalam Diam.. Menteri Umno Tempelak Haniff Omar

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menyambut baik pembentukan Panel Penasihat Bebas enam anggota bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian rusuhan berikutan penganjuran Bersih 3.0 di ibu negara bulan lalu. Bagaimanapun kata Saifuddin, beliau melihat pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar sebagai pengerusi panel itu "kurang sesuai." "Saya amat menghormati Tun Hanif. PDRM berada di zaman kegemilangannya semasa beliau Ketua Polis Negara. Menjadi ahli panel, sesuai. Tapi sebagai Pengerusi Panel, kurang sesuai kerana ia (turut) melibatkan siasatan ke atas tindakan polis (semasa Bersih 3.0)," kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan hari ini.
Malah katanya, beliau tiada masalah dengan keenam-enam ahli panel, tetapi "cuma ia akan lebih baik" jika ditambah dengan mereka yang ada rekod baik dalam kerja-kerja hak asasi dan penambahbaikan demokrasi.

"Bagi saya ini satu peluang yang baik bagi kerajaan memperbetulkan persepsi dan menjelaskan kepada rakyat apa yang sebenarnya berlaku. Dan, jika dijalankan dengan baik, menggunakan peluang ini dengan baik, saya rasa ia akan mendatangkan faedah kepada kerajaan," kata beliau.

Selain Hanif selaku pengerusi, anggota panel terdiri daripada bekas Ketua Hakim Borneo Tan Sri Steve Sim, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew Liew Peng Chuan, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah dan Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail.
.

0 Komen pengunjong :