SHAH ALAM — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR)
menegaskan pakatan pembangkang itu tidak pernah takut untuk menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sebaliknya mendakwa Barisan Nasional
(BN) pula bimbang dengan kebangkitan mereka dengan sokongan yang ada
sekarang.
Mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Pas,
Salahuddin Ayub berkata, bekas Perdana Menteri itu hanyalah satu
manifestasi terhadap kebimbangan Umno dan BN menjelang PRU13.
“Mahathir telah menyatakan kami tak yakin menang dalam PRU13 akan
datang adalah satu tanggapan yang salah dan itu hanya ingin menutup
kerisauan pada ahli Umno dan BN sendiri,” kata Salahuddin lagi ketika dihubungi Sinar Harian Online.
Dr
Mahathir sebelum ini dipetik berkata, pembangkang tidak mempunyai
keyakinan untuk menang dalam PRU13 menyebabkan mereka melemparkan
pelbagai tuduhan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan sedia
ada zalim dan perlu digulingkan.
Mantan perdana menteri itu turut berkata, pembangkang sudah banyak
kali berdepan dengan kekalahan malah sejak negara ini merdeka, mereka
tidak pernah menang di peringkat pusat.
“Sebab itu mereka mahu bersedia, kalau kalah kali ini (PRU13), mereka
akan cetuskan huru-hara, buat demonstrasi dan desakan yang kononnya
kerajaan menipu untuk menang.
“Ini memang pendekatan pembangkang yang bertujuan menjatuhkan
kerajaan melalui demontrasi, bahkan Nik Aziz (Mursyidul Am Pas, Datuk
Seri Nik Aziz Nik Mat) sendiri turut mengatakan bahawa demontrasi ini
halal,” katanya.
Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubanhg Kerian berkata, masyarakat
sekarang lebih celik politik dan dapat menilai pemerintah yang layak
dalam mengemudi negara ke arah yang lebih baik seperti yang dituntut
Bersih 3.0.
“Kebangkitan rakyat yang ditunjukkan melalui perhimpunan Bersih 3.0
yang berkumpul tanpa mengira kaum pada April lalu jelas menggugat dan
memberi ancaman kepada Umno,” kata Salahuddin.
Perhimpunan Bersih 3.0 yang dianjurkan oleh gabung 84 NGO, didakwa
dihadiri lebih seratus ribu peserta dari seluruh pelusuk negara telah
mengundang pelbagai reaksi ekoran keganasan yang berlaku.
“Kami telah meminta untuk ditubuh satu pasukan suruhanjaya bebas bagi
menyiasat siapa dalang di sebalik insiden tersebut dan masyarakat boleh
menilai sendiri melalui video yang dirakam dan muat turun dalam
mana-mana laman sosial,” tambah Salahuddin lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw
berkata, “kita tidak tahu siapa yang akan menang dalam PRU13 nanti
sehingga semua undi dikira dan diumumkan kepada semua”.
“Mahathir tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu dan beliau
hanya memperlihatkan kebimbangan Umno dalam meraih undi dalam PRU13 akan
datang.
“Jika benar Umno tidak bimbang mengapa Parlimen masih belum
dibubarkan sehingga hari ini dan jika masih mencari masa yang sesuai,
Umno akan menjadi seperti telur di hujung tanduk,” kata Ahli Parlimen
Kepong itu lagi.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR Tian Chua juga menyokong kenyataan rakan-rakan PR beliau.
“Saya merasakan kenyataan Mahathir adalah tidak berasas dan tidak
mempunyai bukti kukuh mengaitkan demonstrasi Bersih 3.0 sebagai cara
untuk menjatuhkan kerajaan,” kata Ahli Parlimen penggal pertama ini.
“Manakala usaha memburukkan imej polis adalah satu klasifikasi yang jauh berbeza dengan untuk menggulingkan kerajaan.
“Suruhanjaya Pilihan Raya haruslah telus dan adil dalam setiap PRU
dan menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan betul, serta mereka
perlulah bebas dari mana-mana badan politik.
“Kewujudan perhimpunan Bersih bukanlah bertujuan untuk meraih undi
dan menjadikannya sesuatu yang boleh menggugat keamanan negara tetapi
adalah untuk menuntut lapan perkara yang disebutkan sebelum ini,” tambah
Ahli Parlimen Batu itu lagi.
.
0 Komen pengunjong :