Teras Pengupyaan Melayu (TERAS) berpendiran bahawa tanggapan
perhimpunan Bersih 3.0 adalah untuk menggulingkan kerajaan adalah suatu
manipulasi fakta yang sangat menghina kematangan rakyat.
Adakah terdapat perbezaan antara niat perhimpunan rakyat di Dataran Tahrir dan Dataran Merdeka.?
Secara inti jelas tidak banyak beda. Iaitu intisarinya adalah untuk
menuntut perubahan dari kezaliman regim yang menindas kebebasan rakyat
kepada pemerintahan yang adil , dari pemerintah yang terus mahu memegang
kuasa dengan cara penipuan dan menekan rakyat secara mengguna kuasa
polis dan tentera kepada sistem yang demokratik , dari kepincangan
salahgunakuasa untuk memperkayakan pemimpin dan kerabatnya kepada
keadilan sosial untuk rakyat.
Dari menyalahguna undang-undang untuk kelompok elit politik yang gila
kuasa kepada mengembalikan kuasa rakyat untuk memileh pemimpin yang
lebih beramanah.
Atas dasar itulah ulama di Mesir termasuk ulama berwibawa Dr Yusuf Qaradhawi menyertai perhimpunan .
Adakah ulama tidak tahu bahawa mereka yang turun bersama jutaan
rakyat di Dataran Tahrir bercambur baur antara pelbagai golongan yaitu
yang Islamis , yang sekular , yang ateis , yang kafir , yang liberal ?
Kenapakah ulama- ulama di Mesir bergabung tenaga dan suara dengan
pelbagai kelompok untuk bersatu menjatuhkan pemimpin yang didakwa
dilantik sebagai pemimpin yang sah dalam sistem Mesir.
Padahal pihak keselamatan di Mesir jauh lebih brutal dan mudharat
yang akan dihadapi oleh rakyat juga sangat tinggi bila berhimpun di
Dataran Tahrir.
Ketika ulama bersatu bersama Syeikh Yusuf Qaradhawi menyertai
demonstrasi untuk revolusi Mesir, mereka bersepakat bahawa rakyat bukan
setakat dibolehkan turun ke Datran Tahrir malah disemboyankan wajib
bersama walaupun risiko untuk berlaku pertumpahan darah amat jelas.
Pokoknya mereka mempunyai hadaf yang murni iaitu merubah regim yang zalim yang menindas dan menipu rakyat.
Di Dataran Merdeka hasrat rakyat adalah jauh lebih rasional iaitu
untuk menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Tidak ada siapapun yang
menimbulkan agenda mengulingkan kerajaan hanya dengan cara duduk dan
bantah di Dataran Merdeka.
Pernyataan mengulingkan kerajaan hanya datang dari mulut PM yang
kemudian turut di iyakan sahaja oleh politikus parti dan penjaga jawatan
untuk menyelamatkan periuk nasi.
Sebenarnya tidak jelas siapa yang memberi pengarahan serta siapa yang
memimpin perhimpunan untuk rakyat menyatakan hasrat yang sama seperti
yang berlaku di Dataran Tahrir.
Sangat naif mereka yang terlalu obses untuk mengatakan perhimpunan itu dianjur oleh seorang atau dua pengerusi.
Akan
tetapi pada hakikatnya ia datang dari suatu gelombang dalam sanubari
rakyat yang sudah muak dengan muslihat dan manipulasi pihak yang
berkuasa yang menggunakan taktik kotor dalam pilhanraya untuk
menjaminkan kemenangan.
Rakyat sebenarnya tidak perlu menunggu arahan dari sesiapa. Cukup
dengan satu kesapakatan untuk berhimpun dan menjelaskan apa yang
dituntut , gelombang untuk berhimpun pasti akan terbina dalam memontum
yang tidak dapat dibendung.
Sememangnya dalam gelombang itu pihak yang mempunyai jentera
organisasi akan menggunakan jenteranya untuk hadhir bagi memberi
pengarahan ditengah- tengah lautan manusia.
Ada yang patuh dan ada yang tidak. Akan tetapi untuk mengatakan ada
pemimpin yang mengarah dan merencana untuk tujuan menguling kerajaan
sangat berbau manipulasi fakta , malah cuba merendah-rendahkan
kematangan rakyat untuk berhimpun.
Jadi
kenapa tiba tiba setelah perhimpunan rakyat dikucar kacir dengan
provokasi yang dimulakan oleh pihak keselamatan sendiri dan berlaku
kekacauan dan menunjukkan keganasan lebih banyak digerakkan oleh polis
yang berpakaian seragam dan berpkaian ‘Bersih’ , dengan tidak semena-
mena dikeluarkan pula sebuah fatwa.
Sementara kami menghormati fatwa yang dikeluarkan untuk memberi
panduan kepada umat Islam , namun setelah jelas ramai rakyat awam yang
tidak bersenjata dan wartawan yang hanya menjalankan tugas dibelasah
dengan melampau oleh pihak polis , kami juga tertanya-tanya kenapa tiba-
tiba sebuah fatwa dikeluarkan.
Padahal sebelum perhimpunan diadakan dan tuntutan rakyat
dikumandangkan serta asas dan bukti dikeluarkan yang menunjukkan adanya
penyelewengan berlaku dalam PRU , kenapa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak
bersidang untuk mengeluarkan fatwa?
Kami menuntut agar keadaan tersepit yang kini dihadapi oleh kerajaan
tidak terus dikelirukan lagi dengan menghasilkan fatwa yang tidak
mengambilkira keseluruhan sumber demi menjaga kehormatan Majlis yang
bertanggungjawab memandu umat kepada kebenaran dan keadilan.
Mengabsahkan tindakan kerajaan hanya kerana mahu menjaga kepentingan
jawatan tidak membantu untuk memandu umat Islam dan memperkukuhkan
kedudukan Islam.
.
0 Komen pengunjong :