KUALA LUMPUR, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak
akan terlepas begitu sahaja setelah menyebabkan negara rugi besar dalam
perjanjian pertukaran tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) dengan
Singapura, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub .
Mengulas laporan bahawa stesen keretapi Tanjong Pagar kini dijadikan
pusat pertunjukan fesyen oleh Singapura setelah berjaya memperolehinya
dalam perjanjian pertukaran tersebut, beliau mempersoalkan, apa yang
manfaat yang diperolehi Malaysia dari perjanjian tersebut.
"Singapura sudah mula membuat untung besar dengan penggunaan stesen
keretapi Tanjong Pagar itu sedangkan Malaysia yang kononnya mendapat
tanah secara percuma dalam perjanjian pertukaran itu masih lagi bergelut
dengan isu caj pembangunan yang terlalu tinggi yang dikenakan oleh
Singapura setelah kononnya memberikan tanah secara percuma untuk
dibangunkan," katanya.
Salahuddin kesal, ketika Singapura sudah pun berjaya menjana
pendapatan dan publisiti untuknya sebagai pusat fesyen antarabangsa,
kerajaan pimpinan Najib masih lagi terkial-kial untuk mencari
penyelesaian dalam isu caj pembangunan itu.
"Tidak ada apa-apa pembangunan kerana Najib dan kerajaannya diperdaya dengan 'development cost' atau caj pembangunan.
"Terpaksa menunggu dan terpaksa merayu agar dikurangkan. Kalau
Singapura tidak mahu kurangkan, sekali lagi terpaksa pergi ke ICJ
(Mahkamah Keadilan Antarabangsa) untuk membuat keputusan dan 10 tahun
lagi pun terpaksa berputih mata.
"Sebelum ini hilang Pulau Batu Puteh kepada Singapura di ICJ. Apa
jaminan tanah KTM itu tidak akan hilang di ICJ setelah Najib
diperbodohkan dalam perjanjian itu?" Ahli Parlimen Kubang Kerian itu
mempersoalkan.
Salahuddin bertegas dengan pendirian bahawa apa yang berlaku itu hakikatnya adalah pengkhinatan Najib terhadap negara.
"Najib bertanggung jawab terhadap penghianatan itu. Perdana Menteri apa yang mudah terpedaya sedemikian rupa?
"Saya tidak percaya Malaysia tidak mempunyai orang yang cerdik untuk
menasihati Perdana Menterinya supaya tidak diperdayakan sedemikian
rupa," katanya.
Sebab itulah, Salahuddin enggan menolak spekulasi yang mendakwa
bahawa apa yang sebenarnya berlaku ialah peras ugut dan pihak yang
diperas ugut terpaksa merasuahkan tanah berharga kepada pihak yang
memeras ugut.
Dengan apa yang berlaku itu, Salahuddin bimbang, apa lagi yang akan terlepas dari negara ini jika terus diperintah oleh Umno.
"Tidak kiralah sama ada kerana terlalu bodoh atau sengaja merasuah
setelah diperas ugut, setelah kita kehilangan Singapura pada 1965, Pulau
Batu Puteh pada 2008 dan tanah-tanah KTM termasuk stesen keretapi
Tanjong Pagar itu, apa lagi yang akan diserahkan oleh Umno kepada
Singapura?
"Dalam soal tanah-tanah KTM, masalahnya Najib bersetuju bahawa
Malaysia tidak akan menerima apa-apa pampasan dan pertukaran tanah jika
Malaysia menangguh-nangguhkan tindakan untuk memuktamadkannya," kata
beliau.
Salahuddin membangkitkan, perjanjian 1918 menyatakan tempoh pajakan
tanah-tanah tersebut kepada KTM adalah selama 999 tahun walaupun
dinyatakan untuk kegunaan perkhidmatan keretapi sahaja.
"Najiblah yang memusnahkan kelebihan yang berpihak kepada Malaysia
dalam perjanjian 1918 itu apabila beliau mempersetujui perjanjian
pertukaran tanah tersebut dengan (Perdana Menteri Singapura) Lee Hsien
Loong," kata beliau penuh kesal.
0 Komen pengunjong :