Sabtu lepas, berlangsungnya satu perhimpunan Bersih 3.0 yang mana
rata-rata rakyat Malaysia sudah sedia maklum dengannya beberapa minggu
lalu. Perhimpunan itu diumumkan oleh pengerusi bersama Bersih 2.0 iaitu
Datuk A Samad Said dan Datuk S Ambiga. Ini adalah kali pertama aku
menulis dan kebiasaannya aku mendokumenkan sesuatu cerita menggunakan
visual. Jadi maafkan aku jika penulisan aku tampak hambar. Harapan aku
pada pembaca agar dapat meluangkan sedikit masa membaca artikel ini
hingga ke akhir kalam.
Aku rasa terpanggil untuk menulis ini bukan untuk menyebelahi
mana-mana pihak. Baik pihak Polis Di Raja Malaysia, Bersih 3.0 dan juga
DBKL. Aku harap pembaca semua jelas dengan kedudukan aku sebagai
wartawan video, aku cuba sebaik mungkin untuk tidak berat sebelah dalam
penulisan aku ini. Aku menulis berdasarkan pendapat sebagai seorang
wartawan video.
Tepat jam 8 pagi aku tiba di Masjid Jamek dengan membonceng motosikal
seorang teman dari media antarabangsa. Setibanya aku di lokasi, aku
dapat lihat ramai golongan anak muda dari pelbagai etnik bangsa
berpusu-pusu untuk hadir ke pintu masuk Dataran Merdeka. Kelihatan juga
golongan pertengahan umur dan beberapa OKU sedang duduk berehat
dibahu-bahu jalan dan kaki lima OCBC Bank.
Hampir 20 minit aku cuba manfaatkan masa tersebut untuk menghantar
visual yang paling awal untuk tontonan pembaca di FMT dan juga warga
YouTube di seluruh dunia yang mengikuti arus perdana politik Malaysia.
Setelah video pertama dimuat-naik, aku mundar-mandir dari Masjid Jamek
ke Dataran Merdeka bagi mendapatkan lagi visual yang menarik.
Secara jujurnya, aku dan beberapa wartawan merasa teramat bosan
mungkin kerana sepanjang liputan yang melibatkan demonstrasi, kami lebih
banyak berarak. Tapi kali ini hanya sekadar duduk. Jadi mungkin ada
dikalangan pembaca yang menghadiri perhimpunan tersebut dapat melihat
terlalu banyak wartawan video dan foto berlegar-legar untuk mendapatkan
shot yang menarik.
Setelah siap mendapatkan visual terbaru untuk jam 1 tengahari dan
bersedia untuk dimuat-naik, aku sempat berbual-bual dengan beberapa
anggota polis yang bertugas pada hari tersebut ketika sedang membuat
sedikit suntingan pada visual yang hendak dihantar. Semuanya ramah dan
senang didekati. Ada juga yang merungut hanya sempat menonton sebahagian
dari filem The Avengers, kerana dipanggil bertugas.
Ketika sedang cuba memuat-naik visual, tiba-tiba kedengaran
hiruk-pikuk anggota polis yang sedang makan dan berehat meluru ke atas
Jalan Tun Perak dan pasukan FRU sedang bersiap sedia di posisi
masing-masing bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Aku terpaksa
membatalkan usaha aku memuat-naik visual dan segera ke bahagian hadapan
polis. Suasana makin hangat ditambah pula dengan panas terik, aku dan
beberapa wartawan lain bersepakat untuk mengambil gambar dari dalam
Dataran Merdeka.
Setelah berjaya masuk kami kemudian berpecah cuba mendapatkan sudut
masing-masing. Waktu menunjukkan hampir jam 3 petang. Aku cuba mencuri
masa untuk memuat-naik semula visual yang tergendala sebentar tadi.
Namun usaha itu sekali lagi gagal kerana dengan tidak semena-mena
sorakan dari peserta demonstrasi bergema kuat, mereka merempuh kawat
duri dan pagar sementara yang dinaikkan oleh DBKL dan polis. Pengamal
media yang bertugas lintang-pukang menyelamatkan peralatan mereka.
Anggota polis barisan hadapan juga bertempiaran lari.
FRU bertindak
Susulan kejadian yang langsung tidak dijangkakan ini, pihak FRU mula
bertindak dengan menyembur air dan gas pemedih mata bertubi-tubi. Ada
juga kelihatan sekumpulan lelaki berpakaian kuning melontar batu ke arah
kami dan juga pihak polis. Seperti media lain, apa pun yang berlaku,
akan kami cuba sehabis baik merakamkan situasi tersebut. Waktu
menunjukkan hampir jam 4 petang dan pihak polis mula berjaya membuat
tangkapan.
Malangnya setiap kali tangkapan dibuat, kami sebagai media tidak
dibenarkan merakamkan kejadian tersebut. Ketika aku mengejar sekumpulan
polis dari belakang yang sedang mengheret seorang peserta perhimpunan,
kelihatan wajah lelaki tersebut berlumuran darah dan aku tidak berhenti
merekod hinggalah aku diserang seorang polis. Polis tersebut mengherdik
aku untuk memadamkan kamera. Tak cukup dengan itu salah seorang polis
bertindak bacul menyimbah kamera aku dengan air.
Aku mula merasa pelik kerana sepanjang tujuh tahun bertugas sebagai
media tidak pernah sekalipun dilayan sedemikian oleh pihak polis. Mana
pergi sikap polis yang ramah dan mesra tadi? Tidak berfikir panjang aku
beredar dari situ bagi mencari posisi yang lebih selamat. Aku
menghampiri beberapa media lain dan mereka juga menyatakan dilayan
sedemikian. Aku hairan, apakah pengamal media ini merupakan satu ancaman
pada pihak polis juga?
Pihak DBKL juga tidak terlepas dari bertindak seperti polis dan cuba
mencederakan aku. Pekikan seperti “kau tak blah (pergi) aku tangkap
kau!” sambil merentap beg sandang aku, terang-terang cuba mengugut media
yang bertugas. Aku hanya mempersoalkan adakah di bawah bidang kuasa
DBKL, mereka juga boleh membuat tangkapan? Jika boleh, di manakah orang
yang ditangkap akan dibawa? Setor simpanan peralatan kebun DBKL? Aku tak
pertikai pihak polis dan DBKL yang bertugas, tapi apa rasionalnya
menyerang media yang juga bertugas? Kami juga bertugas seperti anda.
Mungkinkah kerana pekerja DBKL yang pernah cuba memohon sebagai anggota
sebagai polis tapi gagal, lalu berangan cuba bertindak seperti lagak
polis? Ini memalukan!
Siang tadi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien
mengeluarkan kenyataan bahawa rampasan kamera dan kad memori adalah
sebahagian dari SOP (Standard Operation Procedure) polis. Sejak bila?
Atas dasar apa rampasan itu dibuat? Apa yang KDN dan pihak polis cuba
sorok? Tripod milik rakan media juga dirampas. Tripod bukan boleh
merakamkan visual. Aku tak rasa polis begitu bodoh hingga perlu merampas
tripod. Kami sebagai pengamal media hanya mahukan semua pihak hormati
yang kami sedang bertugas seperti mana kami menghormati anda semua
bekerja. Kenapa terlalu agresif hinggakan ada pengamal media yang lain
cedera parah? Kenapa mesti bertindak hingga memukul media yang bertugas?
Tindakan seperti ini serta-merta mencalarkan imej polis yang kononnya
mesra tetapi tidak ubah seperti beruk terkinja menyerbu dusun orang.
Sangat jelik!
Tidak cukup dengan kekerasan tindakan polis dan DBKL, ditambah pula
para peserta demonstrasi yang taksub menghenyak seorang jurugambar media
tempatan hingga pecah kepala. Sumber yang dikeluarkan media arus
perdana dan online, beliau cuba mengeluarkan anggota polis dari
kenderaan yang terbabas. Namun niat baik beliau disalah tafsir. Peserta
demo terus membelasahnya tanpa usul periksa. Ya benar, jika seseorang
pengamal media melibatkan diri dalam sesuatu situasi begini boleh dikira
melanggar etika kewartawanan. Namun tidak bolehkah peserta demonstrasi
ini melihat dari sudut kemanusiaan? Dan semua pengamal media yang
dibelasah, dirampas kamera, tripod dan juga kad memori, masing-masing
mengenakan tag media Kementerian Penerangan di leher mereka. Bukan tag
yang dilaminat di kedai alat tulis! Kegilaan apa ini?
Akhir kalam, buat sahabat media yang tercedera akibat dipukul peserta
demonstrasi dan juga polis, aku mendoakan kalian agar cepat sembuh dan
dapat bertugas semula. Moga dengan apa yang berlaku tidak mematahkan
semangat kalian untuk terus menyebarkan maklumat pada semua. Aku juga
berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menguraikan segala yang
tersimpul di fikiran kami. Minta maaf sahaja tidak memadai. Untuk
pengetahuan anda, burung kakak tua pun boleh diajar minta maaf.
Sumber :
Freemalaysiatoday
0 Komen pengunjong :