(Gambar dari video bagaimana seorang peserta dibelasah kerana
melemparkan kon ke atas jalan raya)
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
mendesak Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Hishamuddin Hussien dan Tan
Sri Ismail Omar meletak jawatan ekoran tindakan polis membelasah peserta
perhimpunan Bersih 3.0 hari Sabtu lepas.
Menurut ketua
penerangannya Riduan Mohd Nor, tindakan pihak keselamatan pada hari
tersebut amat keterlaluan mirip perlakuan tentera Zionis Israel terhadap
rakyat Palestin.
"DPPM mendesak agar Perdana Menteri, Menteri
Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara bertanggungjawab ke atas isu ini
dengan meletak jawatan serta merta. .
"Mereka jelas telah gagal
mengawal anggota bawahannya dengan baik sehingga ramai orang awam
termasuk wartawan yang tercedera dipukul. PDRM gagal mengenal pasti yang
mana rakyat bawahan yang perlu dilindungi, dan yang mana penjenayah
yang perlu diperangi," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut
Riduan apa yang disaksikan melalui video yang diambil oleh orang ramai
membuktikan bahawa pihak polis yang terlebih dahulu membuat provokasi
dan membelasah orang ramai yang ditangkap dengan sesuka hati.
Mereka juga jelas Riduan bertindak ganas menangkap dan memukul peserta Bersih dua jam selepas perhimpunan bersurai.
Selain
daripada itu, polis dan FRU juga bertindak melepaskan gas pemedih mata
serta air kimia kepada orang ramai yang berkumpul di Masjid Jamek, Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), SOGO, Jalan Tunku Abdul Rahman dan
Menara Maybank.
Polis juga merampas, memukul dan mencederakan beberapa orang wartawan yang merakam aksi keganasan mereka.
Malah ujarnya ramai saksi melihat bagaimana kereta polis melanggar orang awam yang sedang berjalan di kaki lima SOGO.
"Tindakan
kejam pihak polis menunjukkan bahawa PDRM dan kerajaan khususnya
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mungkir janji untuk memberikan laluan
terhadap perhimpunan aman duduk bantah ini meskipun pada awalnya mereka
memberikan janji untuk membenarkan perhimpunan ini berlangsung.
"Jika
orang awam yang ditohmah menceroboh Dataran Merdeka menjadi sebab
tindakan ganas polis, mengapa orang ramai lain yang berkumpul di lokasi
luar dari Dataran Merdeka menjadi mangsa? Mengapa ribuan orang awam lain
mesti menjadi mangsa keganasan ini? Sepatutnya mereka yang menceroboh
Dataran Merdeka sahaja ditangkap, bukan mereka yang berkumpul di
merata-rata kawasan lain," katanya.
0 Komen pengunjong :