KUALA LUMPUR:
"Filem Altantuya" akan turut siap jika "kerjasama" Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak menyebabkan siapnya "filem Scorpene", kata
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
"Rasa takut yang
ditunjukkan dengan begitu ketara oleh Najib dan kerajaannya terhadap
perbicaraan mahkamah mengenai urusniaga kapal selam Scorpene hakikatnya
adalah suatu "kerjasama" yang akan menyebabkan terbongkarnya pelbagai
isu yang tersembunyi dari pengetahuan rakyat dalam pembelian kapal selam
tersebut.
"Sikap Najib dan kerajaannya hakikatnya membantu menyiapkan 'filem Scorpene'," katanya.
Jika sikap Najib dan kerajaannya itu menyebabkan "filem Scorpene"
disiapkan, Mohamad yakin "filem Altantuya" juga akan turut disiapkan
sekaligus.
"Saya pernah kata, kalau mahu 'filem Altantuya' yang
tiada kesudahan itu disiapkan, pastikan Pakatan Rakyat (PR) menjadi
kerajaan dalam pilihan raya akan datang.
"Nampaknya mungkin
filem itu akan siap lebih awal lagi dengan ketakutan luar biasa yang
ditunjukkan oleh Najib dan kerajaan terhadap perbicaraan di mahkamah
Perancis yang akan membicarakan kes bayaran komisen tidak sah dalam
penjualan kapal selam itu.
"Jika PR dipilih menjadi kerajaan,
saya percaya Najib akan menerima anugerah kerana kehebatan filem
Altantuya itu," kata beliau.
Sebelum ini, banyak media luar negara yang mengaitkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu dengan urusniaga kapal selam Scorpene.
Najib sebelum ini enggan menjawab soalan wartawan mengenai perbicaraan
di mahkamah Perancis itu dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi
pula berkeras tidak mahu hadir atau menghantar wakil ke perbicaraan itu.
"Sikap Najib dan kerajaannya itu menyebabkan rakyat sudah mula
mempersoalkan apa yang mereka takut sangat sehingga seolah-olah lari
lintang pukang dari kes yang dibicarakan itu," kata Mohamad.
Beliau yakin, jika tidak ada sebarang perkara yang ditakuti, sudah tentu
"berdegar-degar" Najib menjawab panjang lebar soalan wartawan mengenai
perkara itu seperti yang biasa dilakukannya dan menteri penggantinya di
Kementerian Pertahanan pula tidaklah terlalu ketara mahu melarikan diri
perbicaraan di mahkamah Perancis itu.
"Orang Melayu kata berani kerana benar, takut kerana salah," kata Mohamad.
Dalam laporannya, Malaysiakini mendakwa, siasatan majistret Perancis
mendapati AS$1.2 bilion (RM3.7 bilion) jualan kapal selam kepada
Kementerian Pertahanan Malaysia antara lain melibatkan transaksi dengan
syarikat berpangkalan di Hong Kong, iaituTerasasi (Hong Kong) Ltd.
Antara pegawai penting syarikat tersebut ialah Abdul Razak Baginda,
yang dilihat sebagai orang kepercayaan perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak.
Laporan itu juga mendakwa, siasatan percaya
sekurang-kurangnya sejumlah wang daripada 36 juta euro (RM144 juta) itu
disalurkan melalui Terasasi kepada Najib, yang menjadi Menteri
Pertahanan dan juga Timbalan Perdana Menteri ketika dua kapal selam
Scorpene itu dibeli daripada Thales International atau Thint Asia.
0 Komen pengunjong :