Surendran desak penyiasatan minit mesyuarat Felda

KUALA LUMPUR — Mahkamah harus segera mengeluarkan notis mengarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir ke mahkmah dan menjelaskan kenapa beliau tidak sepatutnya dikenakan tindakan menghina mahkamah selepas minit mesyuarat berkaitan Felda yang mendedahkan kerajaan akan mempengaruhi keputusan ketika sesi pendengaran Felda didedahkan pembangkang di Parlimen.
Naib Presiden PKR, N Surendran turut mendesak pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menjalankan siasatan segera sama ada wujudnya penyalahgunaan kuasa dalam situasi tersebut.
“ Mahkamah harus mengeluarkan notis segera menuntut Perdana Menteri membuat penjelasan berhubung minit mesyuarat berkaitan Felda yang dipengerusikan beliau seperti yang didedahkan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.
“Malahan, pihak polis dan SPRM juga harus menjalankan siasatan sama ada berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam perkara itu,” tegasnya.
Tambah Surendran, sebaliknya pihak berkuasa kini cuba mengungut untuk melaporkan kepada pihak polis terhadap pemberi maklumat yang membocorkan minit mesyuarat tersebut kepada pembangkang sebagaimana menjadi amalan kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Pihak berkuasa harus mengambil tindakan terhadap kesalahan yang telah dilakukan, dan bukannya mengugut pemberi maklumat tersebut.
“Istilah ‘Minit Najib’ adalah pertuduhan serius kerana membabitkan campurtangan dalam urusan mahkmah dan tindakan itu menghina mahkamah,” katanya.
Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa Felda akan membuat laporan polis terhadap pendedahan dokumen mesyuarat mereka kepada pembangkang.
Pada 19 Mac, Saifuddin telah mendedahkan satu minit mesyuarat Felda yang dipengerusikan Najib berhubung isu Felda pada 27 Jun 2011.
Dalam mesyuarat tersebut, dikatakan kerajaan akan mempengaruhi keputusan mahkamah berhubung kes pendengaran Felda, dan sehingga hari ini, kerajaan masih lagi tidak memberikan sebarang respons, sebaliknya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menjelaskan pihaknya hanya akan mengemukakan maklum balas pada 26 Mac depan.
Surendran turut mempersoalkan mengapa Ketua Penerangan Umno itu menangguhkan respon berhubung perkara itu sehingga 26 Mac depan.
“Perkara ini berkaitan dengan kepercayaan orang ramai terhadap integriti dan keadilan sistem kehakiman.
“Tindakan berdiam diri kerajaan ini akan menyebabkan kepercayaa rakyat terhadap institusi kerajaan di negara ini akan terhakis,” katanya lagi.

0 Komen pengunjong :