Selesai royalti sebelum PRU, Ku Li gesa BN

Tengku Razaleigh Hamzah

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan isu royalti petroleum yang dituntut oleh kerajaan negeri pimpinan Pas sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan dalam beberapa bulan ini, kata Tengku Razaleigh Hamzah.
Pemimpin politik veteran kelahiran Kelantan ini berkata, perkara itu, yang kini didengar oleh mahkamah, adalah isu utama yang perlu diselesaikan jika BN mahu meningkatkan peluang mentadbir semula Kelantan.
Kerajaan Negeri Kelantan ditadbir oleh Pas sejak 1990. Kerajaan Negeri memfailkan kes tuntutan royalti minyak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 30 Ogos lalu, sehari sebelum negara menyambut ulang tahun sambutan Hari Kemerdekaan.
"Saya nak ingatkan kita tak boleh nak kata ini tuntutan Pas, bukan tuntutan Pas kebetulan saja Pas mendapat mandat dan menubuhkan kerajaan di negeri Kelantan tetapi ramai juga orang yang menyokong Umno di sana," kata beliau dalam temu bual dengan Astro Awani, yang dirakamkan kira-kira seminggu lalu dan disiarkan hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan lawatan kerja satu hari ke Kelantan semalam, dan antara lain meminta rakyatnya memberi mandat kepada kerajaan BN untuk memerintah negeri ini pada PRU13 bagi membolehkan perikatan itu menyelesaikan masalah dihadapi rakyat selama di bawah pemerintahan Pas.
Perdana Menteri berkata, kerajaan BN mampu menyelesaikan masalah rakyat termasuk masalah bekalan air, ladang rakyat, kemudahan asas dan perumahan rakyat.
Najib berkata, kerajaan BN akan mengubah landskap Kelantan dengan  pelbagai pembangunan yang menjadikan Kelantan membangun dan maju.

0 Komen pengunjong :