Pas cabar PM buktikan kenyataan PR selama ini adalah auta

Mustafa Ali

SHAH ALAM – Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan bukti kenyataan Pakatan Rakyat (PR) mengenai sesuatu isu selama ini adalah auta dan tidak boleh dipercayai.
Menurutnya, selama ini PR bercakap berdasarkan fakta dan tidak tampil mempertikaikan sesuatu isu tanpa bukti yang kukuh.
“Tanya beliau, bolehkah spesifikkan apa yang PR auta selama ini? Dakwaan Najib yang kata PR cakap duit Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai duit haram tidak betul. Mana ada kita halang rakyat ambil duit itu dan rakyat berhak menerimanya.
“Apa yang kita tekankan dan halang ialah duit rasuah yang masuk dalam poket pemimpin-pemimpin kerajaaan. Itu yang kita titikberatkan selama ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Mustafa berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Najib yang disiarkan Sinar Harian semalam bahawa rakyat dinasihatkan tidak terpengaruh dengan auta pembangkang yang bercakap mengenai sesuatu isu tanpa berlandaskan fakta kukuh.
Mustafa berkata, kerajaan kini sentiasa mencari peluang untuk memberikan gula-gula kepada rakyat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Bantuan demi bantuan yang mereka hulurkan sebagai persediaan untuk menghadapi PRU13 kerana banyak perkara yang PR kemukakan termasuk dalam Buku Jingga dan Janji 100 hari PR mencabar mereka.
“Rakyat boleh terima dan rakyat kini semakin matang dalam menilai pemimpin. Banyak bantuan yang kerajaan hulur tetapi tidak semestinya rakyat yang ambil bantuan itu sokong mereka. Kita yakin, rakyat sekarang semakin matang,” katanya.
Beliau turut menegaskan dengan yakin bahawa momentum sedia ada memihak kepada pembangkang.
“Kita yakin terhadap kematangan rakyat, malah, kesilapan mengenai isu Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) berlaku kerana kerajaan terlalu terburu-buru sehingga terpaksa menambah peruntukan sehingga RM6 bilion daripada jumlah asal RM3 bilion bagi baik pulih Sistem Saraan Malaysia (SSM).
“Apapun, mereka terpaksa laksanakan juga kerana takut dan mahu gula-gulakan rakyat,” katanya.

0 Komen pengunjong :