Mohamad Sabu nafi pujuk Kadir


KUALA LUMPUR, 22 Mac: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menafikan bahawa beliau mendakwa sebagai orang yang memujuk Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir keluar Umno.

"Kadir boleh membuat keputusannya sendiri tanpa dipujuk oleh sesiapa. Memang saya mengunjunginya dan berunding serta berbincang mengenai politik negara dengannya.

"Tetapi bukan saya yang memujuknya keluar Umno. Itu keputusan Kadir sendiri," tegas beliau.

Beliau menafikan laporan hari ini yang mendakwa Mohamad membuat pengakuan bahawa beliaulah yang orang memujuk Kadir membuat keputusan keluar Umno.

Mohamad mengakui beliau ada menyatakan bahawa Kadir adalah salah seorang dari banyak lagi tokoh Umno yang akan keluar dari parti itu.

"Tetapi tidak ada misi memujuk. Berunding memang ada dan itu perkara biasa. Saya hanya berjumpa dan berhubung dengan tokoh-tokoh Umno yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sahaja.

"Ada yang mendakwa kepada saya bahawa (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) juga sangat tidak berpuas hati dengan kepimpinan Najib.

"Itu yang diberitahu kepada saya dan saya tidak tahu kerana kali terakhir saya jumpa Dr Mahathir ialah ketika dia berlawan dengan Pak Lah (bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad badawi) dulu. Selepas itu saya tak pernah jumpa Dr Mahathir," kata Mohamad.

Kadir adalah salah seorang yang ditemuinya.

Mohamad dipetik oleh Berita Harian hari ini sebagai berkata bahawa Kadir yang keluar parti kelmarin hanya salah seorang daripada banyak lagi yang akan menyusul.

"Aku dah berunding dengan dia lama dah. La ni (sekarang) keluar Umno baru hangpa (kamu) tahu.

"Berlambak lagi aku sedang berunding sekarang... tunggu," beliau dipetik oleh akhbar pro-Umno itu sebagai berkata.

Mengulas lanjut kenyataan dalam ceramahnya itu, Mohamad menjelaskan, berunding tidak sama dengan memujuk.

"Kita boleh berunding mengenai masa hadapan negara sambil mendapatkan pandangan tokoh-tokoh Umno berkenaan mengenai kemusnahan yang bakal dihadapi oleh negara jika terus diperintah Umno.

"Pujuk tidak perlu. Mereka ada akal fikiran sendiri. Mereka duduk di dalam Umno dan mereka lebih nampak kehancuran yang akan diakibatkan pemerintahan parti itu," katanya.

Mohamad walaubagaimanapun mengakui, kunjungan hormat serta usaha perundingan dan bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh Umno berkenaan memang dipertingkatkan lagi.

0 Komen pengunjong :