Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli berkata beliau keberatan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, namun “99.9 peratus” yakin akan berbuat demikian.
Kini, tiada lagi syarikat yang akan mengambil beliau bekerja di Malaysia, setelah tiga tahun berkecimpung di dalam PKR, kata bekas pegawai kanan Petronas dan Pharmaniaga itu.
Ketua eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor itu juga berkata, beliau sekarang bukan hanya seorang pembuat dasar untuk negeri Pakatan Rakyat tetapi PKR sendiri menaruh harapan besar supaya beliau bertanding.
"Saya keberatan, jika anda tanya saya (sekiranya akan bertanding), tapi ia juga kesalahan kami kerana tidak bertanding pada 2008 apabila diminta.
"Sebab itulah kita ada banyak masalah pada 2008, jadi ada 99.99 peratus peluang untuk saya bertanding.
"Di mana, itu masih belum dapat dilihat, tapi biasanya jika anda merupakan pengarah strategi PKR anda akhirnya akan bertanding," katanya lagi dalam wawancara bersama
Malaysiakini minggu lalu.
Rafizi yang banyak meluangkan masa untuk "berpolitik" di Kemaman, Terengganu – kawasan parlimen diwakili orang kuat BN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek – juga berkata beliau mungkin akan "balik kampung" untuk bertanding di kawasan itu.
Namun, persetujuan akhir terletak kepada parti, kata Rafizi lagi yang tidak lokek dengan senyuman.
Rafizi juga nampaknya tidak begitu kisah dengan pendapatannya yang kini jauh berkurangan berbanding ketika menduduki jawatan tinggi dalam bidang korporat.
"Saya bernasib baik, saya mendapat pekerjaan yang baik, jadi saya ada sedikit simpanan. Pada mulanya, OK kerana saya hanya seorang pegawai kerajaan, saya merangka dasar, tapi tentulah apabila saya bermula dalam politik saya merasa kesannya.
"(Wang) yang keluar lebih banyak daripada yang masuk kerana anda perlu biaya parti dan ramai di antara kami membiaya parti daripada gaji kami sendiri dan sekarang semakin dekat dengan pilihan raya, tidak cukup.
"Tapi saya bernasib baik kerana saya tidak mempunyai gaya hidup mewah. Saya tinggal di rumah murah, pandu kereta murah," katanya.
Namun beliau tetap bimbang dengan saman yang dikemukakan menteri pembangunan wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, ekoran pendedahan demi pendedahan berhubung dakwaan penyelewengan dalam projek National Feedlot Centre.
"Saya tidak tahulah jika saman itu akan diteruskan, tapi kini saya bebas hutang," katanya lagi.
0 Komen pengunjong :