Pas Selangor tak mahu layan Hasan Ali

Dr Abd Rani Osman

SHAH ALAM – Pas Selangor tidak akan melayan sebarang tuduhan bekas Pesuruhjayanya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali kerana menyifatkannya sebagai memberikan ‘talian hayat’ kepada bekas ahli Pas itu untuk terus mengkritik parti tersebut.

Pesuruhjayanya, Dr Abd Rani Osman berkata, pihaknya juga tidak bercadang untuk mengadakan sebarang perdebatan bagi menjawab segala dakwaan yang dibuat Hasan.
“Ikut suka dialah nak cakap apa pun kerana dia bukan lagi ahli Pas, jadi terpulanglah kalau nak komen apa pun.
“Kalau dia nak meraung sekalipun terpulanglah kerana kita tak bercadang nak berdebat dan tak mahu beri ‘talian hayat’ kepadanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika menjawab sama ada Pas Selangor sedia tampil memperjelaskan segala tuduhan yang dilemparkan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dalam beberapa siri ceramah dan sidang medianya.
Abd Rani berkata, perkara itu diputuskan selepas mendapat nasihat daripada Pas Pusat berhubung isu pemecatan Hasan.
Katanya, beliau menafikan kenyataan Hasan yang mendakwa tidak menerima sebarang pertuduhan dan juga arahan untuk hadir khusus bagi memberi keterangan.
Menurutnya, Pas Selangor menghantar sebanyak tiga surat bagi memintanya hadir untuk memberi keterangan.
“Tuduhan kita tak beri dia (Hasan) peluang itu tak betul kerana kita menghantar surat sebanyak tiga kali menjemputnya untuk bertemu pimpinan Pas Selangor.
“Malah kita ada bukti yang surat tersebut mempunyai cop penerima dan kita hantarnya sendiri secara terus.
“Yang kita hairan, kalau TV3 panggil dia pergi pulak? Tetapi kita panggil dia tak datang dan dia sendiri yang ‘menghitamkan’ suasana,” katanya.
Abd Rani turut menolak dakwaan Hasan yang mengatakan 72 peratus pemimpin Pas dijangkiti parasit.
Katanya, beliau hairan bagaimana Hasan mendapat statistik tersebut tanpa mengemukakan fakta dan bukti.
“Mana dia dapat statistik sebegitu? Adakah itu hasil kajiannya sendiri? Kalau nak tuduh kita perlu kemukakan bukti dan faktanya. Dalam Islam pun begitu,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Rani turut mempersoalkan keikhlasan Hasan dalam memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja (IMR) kerana dilihat lebih condong mengkritik parti itu berbanding Umno.
“Kalau dia benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan pendiriannya mengapa tidak menegur kedua-duanya sekali iaitu Pas dan Umno. Tetapi dalam isu ini kita lihat dia hanya mengkritik Pas.
“Nampak seolah-olah dia memang budak suruhan Umno seperti yang didakwa oleh Khalid (Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor),” katanya.

1 comment :

  1. Terima kasih Dr Abd Rani Osman, itulah yang sepatutnya dilakukan kerana Hasan Ali bukanlah hendak menentang PAS. Tetapi yang aku hairan mengapa DAP yang buat sebuk2 sekarang. Mengapa mereka mahu masuk campur hal ehwal agama Islam. Apakah mereka mempunyai agenda2 lain yang sekarang menemui jalan buntu di sebabkan perekembangan2 terbaharu ini.

    ReplyDelete