Terdapat tanda-tanda wujud golongan ekstrem dalam Umno yang menghasut supaya pihak pendakwaraya membuat rayuan berhubung kes tuduhan liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari lalu.
Sebagai bukti, sokongan terbuka Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap aduan Azlan, bapa kepada Mohd Saiful Bukhari supaya Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap kes ini.
Malah Muhyiddin, dilaporkan oleh pihak media pada 12 Januari lalu, telah meminta Peguam Negara memberi pertimbangan terhadap permohonan rayuan ini, jika dibuat, demi kepentingan rakyat.
Langkah ini menjadi bukti terdapat percanggahan dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pembebasan Anwar membuktikan reformasi yang dilaksanakan benar-benar memberi kesan.
Dalam satu wawancara yang disiarkan oleh Asian Wall Street Journal pada 13 Januari lalu, James Hookway menulis:
“Pemimpin Malaysia Najib Razak menyatakan pembebasan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim minggu ini sebagai bukti beliau serius tentang reformasi politik, malahan mengajak diadakan pertarungan dalam pilihan raya supaya beliau boleh disinggirkan dari memegang kuasa.”
Hookman berkata Najib beriya-iya benar untuk menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang melaksanakan reformasi yang paling berkesan sejak merdeka. Beliau memetik Najib sebagai berkata,
“Apabila penghakiman dijatuhkan, segala ketegangan yang menyelubungi perbicaraan selama ini secara tiba-tiba hilang dan rakyat secara tiba-tiba sedar bahawa terdapat isu-isu lain yang lebih penting dari isu Anwar, seumpamanya pertumbuhan ekonomi. Apa yang penting sekarang ini ialah kita melangkah maju ke hadapan.”
Najib kemudian menerangkan langkah-langkah reformasi yang sedang dalam proses untuk dilaksanakan, seperti menjadikan pilihan raya lebih telus, mengurangkan tapisan media, menghadkan kuasa untuk menahan seseorang tanpa bicara, dan lain-lain.
Berbangga dengan perubahan-perubahan ini, Najib berkata langkah-langkah ini menjadikan Malaysia sebagai rakan baru Amerika Syarikat dalam “mempromosi politik demokrasi dan perdagangan bebas di rantau Asia dan Timor Tengah.”
Beginilah kata-kata yang digunakan oleh seorang pemimpin yang menyuarakan hasratnya untuk mencapai objektik politik melalui jalan demokrasi bagi memastikan Malaysia diiktiraf, dihormati di kalangan masyarakat demokrasi antarabangsa.
Rayuan bercanggah dengan reformasi Najib
Berhubung sikap Najib terhadap isu Anwar, gesaan timbalannya Muhyiddin supaya dibuat rayuan kelihatan janggal, terutamanya ketika pemimpin-pemimpin dunia mengirimkan mesej penghargaan, mengesahkan keputusan kehakiman itu sebagai langkah yang tepat untuk mengakhiri perbicaraan itu yang dianggap sebagai pencabulan ke atas keadilan dan penganiayaan politik.
Sekiranya Muhyiddin dan termasuk beberapa pemimpin pelampau Umno yang lain tidak mengetahui, fakta-fakta yang dikemukakan oleh pihak pendakwaraya dalam kes perbicaraan Anwar tersangat lemah dan wujud penipuan.
Jika hakim Dato’ Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan Anwar bersalah pada hari itu maka keputusan ini boleh mengaib dan menjejaskan kedaulatan negara.
Bagi mereka yang mengikuti kes perbicaraan ini dengan dekat, sepatutnya apabila satu-satunya bukti – DNA – yang menjadi tempat penggantungan pihak pendakwaraya bagi menyokong hujahnya (selain dari kata-kata daripada pengadu sendiri), yang telah dapat dipatahkan oleh pakar DNA dari Australia maka keseluruhan kes ini sepatutnya telah musnah.
Kes pendakwaan hampir musnah
Dr Brian McDonald, seorang pakar genetisis molekular terkenal, menyatakan bahawa air mani tidak boleh hidup lebih lama dari 56 jam dalam dubur.
Setelah 56 jam, air mani tidak boleh hidup 48 jam lagi selepas itu dalam pejabat pegawai penyiasat polis di dalam bilik di kawasan beriklim tropika. Inilah apa yang didakwa, iaitu sampel air mani Anwar telah menjelajah dua tempoh masa tersebut sebelum tiba di makmal pakar kimia.
Dakwaan bahawa air mani itu masih berada dalam keadaan yang baik, kata nDr McDonald berdasarkan laporan ujian DNA pakar kimia kerajaan Dr Seah Lay Hong menunjukkan air mani bukan yang asli sebagai ganti dikemukakan kepada bilik makmal.
Jika anda meragui kredibiliti Dr McDonald, beliau ialah ahli Australian Biomedical Society dan berkhidmat sebagai ahli Human Genetics
Society, ketua pegawai genetisis di New South Wales dan ahli Australian Forensic Science Society.
Beliau mengemukakan kepada mahkamah kredential beliau setebal lima muka surat termasuk menyenaraikan buku-buku, kertas kerja dan artikel yang ditulis dalam subjek DNA.
Hujah dan bukti
Adalah sesuatu yang signifikan apabila pihak pendakwaraya gagal mematahkan hujah dan bukti Dr McDonald berhubung DNA.
Begitu juga dengan Dr Seah yang dipanggil semula untuk memberi bukti untuk mematah hujah Dr McDonald oleh Timbalan Pendakwa Raya II Mohd Yusof Zainal Abiden.
Mohd Yusof berkata kes pendakwaan bertarikh 3 Februari 2010 ini adalah berdasarkan aduan Saiful dan DNA Anwar ditemui dalam duburnya.
Tanpa ragu lagi, ini membuktikan Anwar bersalah dakwa beliau, walaupun semua doktor yang memeriksa Saiful telah mengesahkan bahawa tidak terdapat bukti tusukan ke dalam dubur Saiful.
Memandangkan sekarang ini bukti DNA telah dibuang maka kes ini bergantung hanya kepada kata-kata Saiful.
Sejauh mana kredibiliti dan kesahihan bukti daripada Saiful?
Jawapannya terdapat dalam keputusan pihak pendakwaraya yang mendakwa sodomi yang berlaku di antara Anwar dan Saiful adalah secara sukarela, berbanding sodomi yang dipaksakan seperti yang didakwa oleh Saiful.
Ini menunjukkan pihak pendakwaraya sendiri tidak bersetuju dengan dakwaan Saiful. Jika pihak pendakwaraya tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Saiful, kenapa mahkamah mempercayai kata-kata beliau?
Rayuan menemui jalan buntu
Persoalannya bolehkah bukti-bukti yang tidak menyokong pengadu, (pihak pendakwaraya menyatakan mereka tidak yakin seperti mana dalam kertas dakwaan), dijadikan bukti kukuh untuk kesalahan jenayah yang boleh mengakibatkan tertuduh dipenjara selama 20 tahun?
Pemimpin-pemimpin Umno yang ekstrem yang enggan menerima keputusan penghakiman ini kerana ingin menyingkir Anwar dari medan politik harus merenung betul-betul perkara ini.
Sekiranya terdapat rayuan, bolehkah panel hakim duduk bersama dalam Mahkamah Rayuan termasuk Mahkamah Persekutuan, yang kebanyakan daripada mereka mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin politik, menjawab persoalan ini?
Jika mereka berbuat demikian maka dunia akan mentertawakan Malaysia, dan ini akan mencetuskan krisis keyakinan dalam sistem perundangan dan seterusnya akan membantut pertumbuhan ekonomi negara?
Akhirnya, adakah mereka yang ekstrem dalam Umno ini benar-benar pasti bahawa ketidakadilan terhadap Anwar ini boleh menyekat kebangkitan rakyat atau sebaliknya menghumban Umno ke dalam tong sampah politik negara.
0 Komen pengunjong :