Mahathir pernah bayar pelobi Zionis AS$1.2 juta


Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mengakui pernah membayar seorang pelobi Zionis, Jack Abramoff membantu bekas Presiden Umno itu menemui bekas Presiden Amerika, Bush, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Nik Nazmi berkata, perbuatan itu dilakukan Mahathir sebaik imej Malaysia terjejas terus ekoran tindakannya memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
“Fakta ini diakui oleh Dr Mahathir sendiri. Abramoff mempunyai hubungan rapat dengan Bush dan juga golongan ekstrem di Israel,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Mahathir yang mendakwa kononnya Anwar merupakan simpatisan Yahudi.
“Menurut majalah Newsweek, ada wang yang dikutip Abramoff dalam aktiviti melobinya disalurkan kepada penduduk Yahudi bagi melawan kebangkitan rakyat Palestin.
“Abramoff akhirnya mengaku bersalah di atas tuduhan rasuah, penipuan dan lain-lain lagi pada 2006,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Mahathir itu dibuat bagi mengalih skandal melibatkan pentadbiran Umno BN.
“Mahathir mungkin kelihatan lantang menentang Zionis dan Barat tetapi sebenarnya mempunyai hubungan cukup baik dengan mereka sehingga sanggup menandatangani perjanjian ketenteraan sulit dengan Amerika pada 1984 – Bilateral Training and Consultation Agreement (BITAC) – yang membolehkan Amerika menjalankan latihan ketenteraan mereka di Malaysia,” tegasnya.
Selepas itu katanya, Bush menganggap Malaysia sebagai sekutu dalam Perang Melawan Keganasan.
“Pentadbiran Dr Mahathir pula menggunakan alasan itu untuk menangkap sesiapa sahaja yang dikehendakinya termasuk anggota pembangkang yang dituduh sebagai pengganas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” tegasnya lagi.

0 Komen pengunjong :