Konflik Mahathir-Anwar, bila kemuncaknya?

anwar with us troops

Sedar tak sedar sudah hampir 14 tahun pertembungan politik di antara mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semenjak Dr Mahathir memecat Anwar pada tahun 1998 daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, pertarungan di antara dua gergasi politik ini masih belum lagi reda.

Cuma ada turun naiknya. Pertembungan reda seketika sewaktu Tun Abdullah Badawi memimpin negara.

Kedua-dua tokoh hebat. Seluruh negara diheret dalam pertembungan politik mereka.

Dr Mahathir masih mampu menyeret seluruh jentera kerajaan untuk bersamanya melawan Anwar – walaupun beliau melepaskan jawatan pada tahun 2003 lalu.

Anwar yang dulu anak didik kesayangan Dr Mahathir tidak kurang hebatnya, daripada seorang pemimpin nombor dua Umno, beliau mampu menyatukan parti politik pembangkang seperti PAS dan DAP serta menubuhkan PKR untuk bersamanya melawan Dr Mahathir.

Mungkin oleh kerana Anwar banyak menerima ilmu politik dari Dr Mahathir, menyebabkan beliau masih lagi mampu bersilat sehingga hari ini dengan bekas bosnya itu.

Igauan Dr M

Dr Mahathir banyak belajar dari pemimpin negara jiran - juga sahabatnya. Beliau melihat bagaimana teman baiknya, Presiden Soeharto digulingkan di Indonesia.

Soeharto sebagai seorang pemimpin yang kuat akhirnya tersungkur akibat demonstrasi rakyat.

12 tahun sebelum Soeharto tumbang, di Filipina berlaku kebangkitan rakyat menjatuhkan seorang pemimpin kuku besi Presiden Ferdinand Marcos. Marcos dihalau bukan sahaja dari kekuasaan akan tetapi terpaksa melarikan diri ke Amerika Syarikat. Sehingga akhir hayat Marcos tidak sempat pulang ke Filipina.

Apabila Dr Mahathir memecat Anwar pada tahun 1998, beliau tidak menyangka akan berlaku kebangkitan rakyat. Hampir setiap minggu demonstrasi berlaku di ibukota walaupun tangkapan ISA berlaku terhadap orang-orang kanan Anwar.

Pada ketika itu, penyokong gerakan Reformasi hanya berpayung dibawah sebuah NGO yang bernama ADIL. ADIL mendapat keahlian yang besar. Mahathir nampak akan bahaya gerakan seperti ini kerana tidak jelas hala tuju politiknya. Jika dibiarkan, tidak mustahil beliau akan senasib Marcos dan Soeharto.

Maka Mahathir mencabar penyokong gerakan Reformasi untuk menubuhkan parti politik dan bertanding pada pilihan raya. Mahathir tahu, apabila tertubuhnya parti politik, fokus untuk menumbangkan regim akan berkurangan dengan adanya politiking dalaman parti.

Sekurang-kurangnya, ia akan melambatkan proses kejatuhan regim pimpinannya. Tepat bacaan politik Dr Mahathir. Sehingga hari ini BN masih bertahan. Gerakan Reformasi pada ketika itu berjaya dilunakkan.

Cabaran Dr Mahathir disahut, tertubuhlah Parti Keadilan Nasional (PKN) – kini PKR selepas bergabungnya PKN dan PRM. Pilihan raya 1999 menyaksikan bagaimana Umno kehilangan majoriti undi dari orang Melayu.

Jika tidak ada sokongan dari kaum Cina, Umno dan BN sudah pasti akan masuk ke dalam tong sampah sejarah.

Keputusan PRU 10 menjadi sebab utama Mahathir berundur. Beliau undur sebelum disepak keluar seperti Marcos dan Soeharto. Dari segi ini, Mahathir selamat.

Akan tetapi, yang paling Mahathir takut kini adalah jika BN tumbang, beliau dan kroni-kroni yang berpayung di bawahnya akan diheret ke mahkamah. Sebab itu Dr Mahathir tidak akan duduk diam selagi hayat dikandung badan.

Pertembungan berterusan

Hari ini, Anwar masih lagi musuh nombor satu Dr Mahathir. Anwar merupakan satu-satunya musuh politik yang gagal dibunuh kariernya oleh Dr Mahathir.

Lihat apa yang terjadi kepada tokoh hebat seperti Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam (kanan)? Kedua-dua tokoh itu hanya tinggal sejarah dan tidak lagi relevan dalam dunia politik hari ini.

Untuk Anwar, Mahathir juga adalah penghalang utama untuk beliau ke puncak kekuasaan. Bukan Datuk Seri Najib Razak dan bukan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua Najib dan Muhyiddin terlalu “kecil” untuk menjadi lawan Anwar. Jika Mahathir tiada, sudah pasti beberapa tauke-tauke besar yang masih bernaung di bawah bekas perdana menteri itu dijangka belot menyebelahi Anwar.

Tauke-tauke ini juga tahu siapa yang kuat untuk menjaga kepentingan mereka. Apabila keadaan ini berlaku, maka tumbanglah BN. Dalam ertikata lain, selagi Dr Mahathir masih hidup, agak sukar untuk Anwar rapat ke Putrajaya.

Secara realitinya, Anwar juga tahu, beliau bukan sahaja melawan Dr Mahathir, akan tetapi seluruh jentera kerajaan yang ada. Perlawanan ini tidak akan berjaya semudah pilihan raya.

Tidak ada regim dalam dunia ini yang akan menyerah kepada rakyat semudah di medan pilihan raya.

Barang siapa yang menyangka BN boleh ditumbangkan pada PRU 13 dengan mengambil kira keputusan PRU 12 lalu adalah terlalu naif kefahaman politiknya.

Lihat saja di Mesir, apakah Presiden Hosni Mubarak dikalahkan pada pilihan raya? Persoalnnya, apakah Anwar percaya dengan pilihan jalanraya?

Pertarungan pusingan akhir

Kini pertarungan Mahathir-Anwar masuk ke pusingan akhir. Setakat ini, kedua-dua tokoh mempunyai stamina panjang.

Tanpa boleh mengharapkan seratus peratus pada Najib, Mahathir sendiri terpaksa masuk kembali ke gelanggang.

Apabila timbul isu kenyataan Anwar tentang isu Palestin – Israel, Mahathir mendapat peluru. Beliau terus menyerang Anwar. Kata Dr Mahathir, Anwar memang akrab dengan pemimpin Israel.

Isu Israel ini akan dijadikan modal untuk terus menyerang Anwar selain isu video seks setelah kes liwat gagal menyebelahi Mahathir.

Bagi yang ingin melihat pedebatan di antara BN dan Pakatan dalam bentuk polisi, ia tidak akan berlaku dalam jangkamasa terdekat. Pertarungan pusingan akhir ini akan menjadi lebih hebat lagi.

Dari segi usia, Anwar mempunyai kelebihan kerana jauh lebih muda berbanding Mahathir.

Pertarungan pusingan akhir akan menentukan sama ada Mahathir atau Anwar yang bakal menang dalam perlawanan yang panjang ini. Hanya masa yang menentukan.

0 Komen pengunjong :