Fitnah II: Mengapa tiada rayuan kes bunuh Altantuya?

azlan

KUALA LUMPUR 13 Jan: KEADILAN Perak menganggap keputusan pendakwa dalam kes Fitnah II mengemukakan rayuan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan institusi perundangan negara masih belum bebas sepenuhnya, kata Naib Pengerusinya, Madhi Hasan.
Katanya, sewaktu banyak pihak termasuk peringkat antarabangsa menyambut baik tanda pemulihan intitusi kehakiman di Malaysia, beliau mengingatkan tentang satu lagi cabang perundangan iaitu Jabatan Peguam Negara.
Menurutnya, sekiranya rayuan tersebut difailkan, ia hanya mengesahkan sikap pendakwaan berpilih pilih (selective prosecution) Jabatan Peguam Negara,  merujuk kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu.
“Mengapakah dalam kes pembunuhan Altantuya, pihak pendakwaraya memutuskan untuk tidak membuat rayuan atas keputusan hakim membebaskan pihak tertuduh, Abdul Razak Baginda?
“Keputusan pendakwaraya untuk tidak merayu adalah mengejutkan kerana Abdul Razak Baginda dilihat berkemungkinan mempunyai motif untuk melakukan pembunuhan  tersebut sedangkan dua orang tertuduh yang lain adalah jelas tidak mempunyai sebarang motif untuk membunuh Altantuya,” tegas beliau.
Menurut Madhi,  Jabatan Peguam Negara seharusnya mengembalikan integritinya dengan akur  gesaan badan-badan perundangan dan hak asasi manusia seperti Majlis Peguam dan Amnesty International, supaya Jabatan Peguam Negara tidak memfailkan rayuan dalam kes tersebut.
“Badan-badan tersebut berpandangan sedemikian kerana berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan di mahkamah, kes tersebut sepatutnya telah digugurkan daripada awal,” tegas beliau.
Katanya lagi, adalah lebih baik Jabatan Peguam Negara, menumpukan perhatiannya untuk mempersiapkan pendakwaan kepada kes-kes berkepentingan awam seperti skandal penyelewengan dana awam dalam National Feedlot Corporation (NFC).
“Majoriti rakyat Malaysia daripada pelbagai aliran politik berharap agar babak- babak terakhir fitnah terbesar yang amat memualkan itu telahpun ditamatkan pada 9 Januari 2012 yang lalu dan tidak perlu disambung lagi,” tegas Madhi.

0 Komen pengunjong :