SBPA hanya aniaya kakitangan awam


KUALA LUMPUR : Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan BN diyakini bukanlah satu sistem yang baik, sebaliknya akan menganiaya kakitangan sektor awam.

Keyakinan itu disandarkan kepada beberapa faktor, terutama berkaitan sistem pemarkahan prestasi kakitangan awam yang pasti terdedah dengan pelbagai bentuk manipulasi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, menerusi sistem baru itu, pemarkahan prestasi kakitangan awam akan dinilai oleh kakitangan atasan, tetapi penilaian tersebut diyakini tidak akan berlaku dengan adil.

Menurutnya, meskipun penilaian prestasi itu sesuatu yang baik bagi menggalakkan perkembangan prestasi di kalangan kakitangan awam, tetapi penilaian tersebut diyakini bukan sekadar berdasarkan prestasi, sebaliknya atas faktor-faktor lain.

Katanya, situasi itu akan menjadikan mereka yang benar-benar berprestasi dan berintegriti tidak akan dinilai sebagai berprestasi, sebaliknya mereka yang bijak 'membodek boss' pula yang akan diutamakan.

"Saya yakin itulah yang akan berlaku. Jadi pada saya, sistem SBPA itu tidak wajar diperkenalkan oleh kerajaan kerana ia pasti akan menimbulkan pelbagai kecelaruan dalam sektor awam," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.   

Sistem SBPA yang akan dilaksanakan oleh kerajaan itu adalah bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang digunakan sekarang seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat baru-baru ini.       

Dalam SBPA itu banyak perubahan yang akan dilakukan dalam pengambilan dan pengisian jawatan serta pembangunan kerjaya penjawat awam, dengan teras pengekalan atau penamatan perkhidmatan berasaskan prestasi kerja.

Antara lain yang terkandung dalam sistem tersebut termasuk mewujudkan dasar pemisah bagi penjawat awam berprestasi rendah dan mereka yang memilih untuk meninggalkan jawatan.

Dalam sistem baru itu juga, pembentukan gaji sebaris digunakan dengan diwujudkan lebih banyak mata gaji supaya penjawat awam mendapat kenaikan tahunan bagi tempoh yang lama selain gaji maksimum bagi gred yang lebih tinggi.

Bagi penjawat awam yang menerima opsyen SBPA akan menerima kenaikan gaji tahunan antara RM80 hingga RM320 dan faedah kenaikan gaji antara tujuh hingga 13 peratus. Kerajaan juga mengumumkan untuk melanjutkan usia persaraan wajib daripada 58 tahun kepada 60 tahun.

Bagi golongan dalam kumpulan guru atau gred gaji DG dengan tempoh bagi kenaikan gred antara DG41 ke DG44 dan DG44 ke DG48 telah dikurangkan kepada 8 tahun sahaja, berbanding sebelum ini selama 10 tahun untuk kenaikan gred dalam jawatan perguruan.

Menurut Mahfuz, setelah diteliti opsyen SBPA dengan menyeluruh, ternyata penilaian atau pemarkahan prestasi kakitangan akan dibuat dengan 3 peringkat, manakala mereka yang dicatatkan markah bawah 70 peratus akan dinasihatkan bersara atau dipersarakan.

"Sistem pemarkahan sememangnya amat jelas terdedah kepada manipulasi. Mereka yang akan diberikan markah tinggi itu nanti diyakini akan turut didasarkan kepada sokongan mereka terhadap parti Kerajaan BN yang memerintah.

"Sekiranya mereka didapati menyokong pembangkang, mereka pasti akan diberikan markah prestasi yang rendak, walaupun merekalah sebenarnya yang betul-betul berprestasi dan wajar diutamakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Beliau memberikan contoh kepada nasib buruk yang menimpa beberapa orang guru yang sememangnya cukup berwibawa tetapi menyokong pembangkang yang bukan sahaja dinafikan kenaikan pangkat, tetapi telah ditukar ke kawasan pedalaman.

Katanya, begitu juga dengan nasib yang telah menimpa Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Dr Judin Abdul Karim, sehingga telah diturunkan pangkat sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) berkuat kuasa 1 Mei lalu.

"Walaupun Datuk Judin sememangnya cukup bertanggungjawab, berprestasi dan berintegriti, tetapi disebabkan sikapnya yang tidak menyokong tindakan-tindakan yang tidak elok para pemimpin BN, beliau akhir telah diturunkan pangkat.

"Saya yakin kejadian seperti itu pasti akan berlaku dengan berleluasa nanti apabila sistem baru itu digunakan, sehingga menyebabkan banyak kakitangan awam yang teraniaya," tegas beliau.

0 Komen pengunjong :