Pemimpin Pemuda MCA juga mahu Shahrizat undur

NONE

Selepas dibidas secara terbuka oleh beberapa pemimpin Umno, parti komponen BN, MCA akhirnya berani bersuara mendesak Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya berundur selepas terpalit dengan kontroversi projek ternakan lembu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) milik suaminya.

"Shahrizat telah ditolak oleh pengundi pada pilihan raya umum lalu. Kali ini, beliau terbabit pula dalam isu NFC,  dengan ini, tidak ada sebab untuk beliau bertanding sekali lagi," kata timbalan setiausaha Pemuda MCA, Loh Chew Jun dalam satu kenyataan hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, Shahrizat gagal mempertahankan kerusi parlimen beliau di Lembah Pantai. Ketua Wanita Umno itu tumbang di tangan  naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

Beliau bagaimanapun, kemudiannya dilantik sebagai senator dan diangkat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Loh juga berkata, kegagalan Shahrizat memberi penjelasan berhubung pembabitan suaminya dalam projek NFC boleh mengakibatkan 'kerusi selamat' BN bertukar menjadi 'kerusi berbahaya' jika pembangkang mengeksploitasi dan mensensasikan isu itu di seluruh negara.

Justeru, beliau juga mahu Shahrizat memberi penjelasan mengenai semua dakwaan yang berkaitan, termasuk tuduhan berlakunya penyelewengan dana pinjaman mudah yang diberikan kepada NFC.

Kata Loh, adalah malang jika usaha-usaha semua parti komponen BN untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat selepas 'tsunami politik' pada tahun 2008 digerhanakan oleh masalah peribadi Shahrizat.

Sebelum ini, pelbagai pihak meningkatkan tekanan pada Shahrizat supaya berundur tetapi kepimpinan tertinggi Umno masih belum membuat pendirian rasmi mengenai perkara itu.

Antara mereka yang secara terbuka mendesak Shahrizat supaya melepaskan jawatannya, adalah  ahli parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh dan ahli parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin.

1 comment :

  1. Ngah Phg asal MelakaDecember 12, 2011 at 1:45 PM

    oleh kerana Umno bnyk terlibatkan diri dgn ketamakan hartabenda/Kroni/Rasuah/putarbelit manipulasi melalui UTUSEX DAN TVTIGASUKU tu/kelucahan/fitnah tersebar..terkini dgn ta*k plak akhirnya faktor2 jahat itu membelitkan leher Umno sendiri sehingga tenggelam lps PRU13 ini.

    ReplyDelete