Kekayaan Taib bukan rahsia lagi - PKR


PETALING JAYA: PKR menyarankan pembentukan serta merta Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat empayar perniagaan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta menangkap dan mendakwa beliau dan 13 ahli keluarganya.
Naib Presiden N Surendran berkata, PKR juga mendesak Taib segera meletak jawatan sebagai ketua menteri dan anggota keluarganya yang memegang jawatan di dalam anak-anak syarikat atau badan-badan berkanun kerajaan.
“Kekayaan Taib dan keluarganya yang diperoleh secara haram bukan lagi rahsia bagi rakyat Malaysia,” tegas beliau dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau merujuk kepada surat bertarikh 13 Disember lalu daripada badan-badan bukan kerajaan enam negara, yang mendesak penangkapan dan pendakwaan ke atas Taib dan 13 ahli keluarganya di atas penipuan, rasuah, rampasan tanah secara haram dan penyalahgunaan kedudukannya.
Menurutnya, selama bertahun-tahun individu, pertubuhan dan parti-parti pembangkang telah mendesak Barisan Nasional (BN) untuk menghentikan rompakan kekayaan dan hasil mahsul Sarawak oleh Taib. Tetapi tiada tindakan diambil terhadap Taib dan kroni-kroninya.
Katanya, fakta-fakta yang didedahkan di dalam surat ini amatlah memeranjatkan. Kepentingan keluarga Taib di dalam 14 syarikat sahaja bernilai RM4.6 bilion. Keluarga Taib dikenalpasti mempunyai kepentingan di dalam 332 syarikat Malaysia dan 85 syarikat asing.
“Aktiviti haram empayar Taib sedang diteliti di Australia, Jerman, Switzerland, UK dan Kanada. Syarikat-syarikat keluarga Taib telah diberikan konsesi balak yang besar dan projek-projek pembinaan besar tanpa tender terbuka dan mempunyai monopoli terhadap eksport simen dan balak.
“Kekayaan dan aset Sarawak bernilai ratusan juta ringgit sedang diseludup keluar Malaysia menerusi pegangan hartanah mewah yang dimiliki anak-anak Taib di Kanada, England dan Amerika Syarikat,” terangnya.
Menurut Surendran, imej negara ini di masyarakat antarabangsa telah pun rosak teruk berikutan keengganan kerajaan untuk menghentikan rompakan ini dan mendakwa Taib dan keluarganya.

0 Komen pengunjong :