Lepas gas: Najib, Hisham mesti bertanggungjawab



KUALA LUMPUR, 5 Okt: Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri mesti dipertanggungjawabkan atas tindakan polis melepaskan tembakan ke perkarangan Hospital Tung Shin ketika Perhimpunan Bersih 2.0, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Tan Sri Mahmood Adam) kata, anggota polis yang didapati bersalah melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam serangan itu akan dirujuk kepada lembaga disiplin PDRM (Polis Diraja Malaysia).

"Kalau anggota polis sahaja yang diambil tindakan, itu tidak adil. Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri juga mesti diambil tindakan kerana cara mereka menangani perhimpunan aman itulah yang menjadi punca utama kepada serangan itu," kata beliau.

Banyak gambar dan video yang tersiar di laman-laman web dan rangkaian sosial yang menunjukkan anggota polis anti-rusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ke dalam perkarangan hospital swasta itu.

Menurut Mahfuz, kerajaan Barisan Nasional (BN) terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sejak dari awal lagi menangani perhimpunan Bersih 2.0 dengan cara yang keterlaluan dan salah.

"Cara kerajaan Najib mengerah polis seolah-olah mahu berperang sedangkan perhimpunan tersebut adalah perhimpunan aman untuk menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Kerajaan BN dilihat menggunakan psikologi perang kerana mereka sangat terdesak dan ketakutan menghadapi tuntutan rakyat yang mahukan pilihan raya adil dan bersih," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz yakin, dengan psikologi perang sedemikian dan cara keterlaluan kerajaan mengerahkan polis untuk menghadapi perhimpunan aman itu, ia mengakibatkan tertanamnya mentaliti hendak berperang pada sebahagian besar anggota polis yang dikerah menghadapi perhimpunan itu.

"Tidak hairanlah kalau perkarangan hospital pun ditembak dan sebab itulah Najib dan Hishammuddin tidak boleh cuci tangan dan mereka mesti diambil tindakan dan bukan sekadar anggota polis sahaja yang diambil tindakan," tegas beliau.

Mengulas kenyataan Hishammuddin bahawa kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 juta dan menugaskan 11,046 pegawai dan anggota polis bagi menghadapi perhimpunan aman Bersih 2.0, Mahfuz berkata perkara itu adalah bukti bahawa kerajaan bertindak secara tidak wajar untuk menghadapi perhimpunan itu.

"Perhimpunan Bersih 2.0 adalah perhimpunan aman, bukan rusuhan. Adakah negara-negara maju pernah berbelanja begitu besar dan mengerah sebegitu ramai polis untuk menghadapi perhimpunan aman?

"Itulah bukti mentaliti mundur kerajaan BN, Tak hairanlah penerimaan kepada Najib jatuh merudum selepas rakyat melihat bagaimana mentaliti tidak bertamadun itu menangani perhimpunan Bersih 2.0," katanya.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat tinjauan Merdeka Center yang menunjukkan sokongan terhadap Najib merosot teruk antara lain adalah akibat dari cara kerajaannya menangani perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Katanya, tindakan kerajaan tidak membenarkan orang memakai baju kuning adalah satu tindakan yang dilihat tidak betul.

Bercakap dalam satu wawancara dengan Astro Awani, Dr Mahathir berkata, imej kerajaan jadi buruk kerana tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa.

0 Komen pengunjong :