'Serang' saya untuk tutup kepincangan p'raya


KOTA BHARU, 13 Sept: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yakin ‘serangan’ terhadapnya yang dimainkan media arus perdana berhubung pejuang kemerdekaan dan Mat Indera ditimbulkan bagi menutup isu kepincangan demokrasi dan sistem pilihan raya di Malaysia.

“Isu ‘serangan’ terhadap saya kerana mereka nak lari daripada isu-isu pilihan raya terutama tentang (lapan perkara) Tuntutan Bersih 2.0 dan Daftar Pemilih yang begitu kotor.

“Oleh kerana nak lari daripada isu-isu itu dan gagal memulihkan demokrasi serta mengatasi kepincangan yang berlaku dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka timbulkan isu ini (serangan terhadap kenyataan saya).

“Ini yang mereka nak ‘lari’, sedangkan perkara ini sedang diperhatikan dunia kini,” dakwa Mohamad Sabu.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyertai Forum Rakyat di Dataran Stadium Sultan Mohamed Ke-IV di sini semalam.

Forum anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan itu turut disertai ahli akademik dan pakar sejarah dari Universiti Malaya, Prof Dato’ Dr Mohamad Abu Bakar.

Turut hadir Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu Dato Wan Abdul Rahim Abdullah, anggota Exco, Abdul Fattah Mahmod dan Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim.

Forum yang dibanjiri ribuan penonton itu dipengerusikan mantan Ketua Pemuda Umno Ketereh Haji Soberi Shafei.

Golongan pembodek

Sementara itu, mengulas kenyataan pihak tertentu bahawa Malaysia tidak pernah dijajah, Mat Sabu mendakwa golongan itu merupakan golongan terlalu hendak membodek pemimpin mereka.

“Bodek punya bodek, mereka itu sampai terbabas, sampai menjadi bahan ketawa sekarang,” katanya.

Dalam hubungan ini, Mat Sabu mendakwa sekiranya rakyat di negara ini menerima pandangan golongan itu, maka ertinya rakyat tidak perlu menyambut kemerdekaan 31 Ogos dan tidak perlu pula menyambutnya pada 16 September.

Dalam pada itu Prof Dr Mohamad ketika dirujuk pandangannya berkata seharusnya orang akademik yang semakin berkedudukan jauh lebih baik sekarang dalam hubungan dengan orang politik mempengaruhi orang politik tertentu supaya isu mengenai penulisan semula sejarah Malaysia ‘yang dipercayai diselewengkan fakta’ itu dilaksanakan.

Menurutnya, sebelum pilihan raya keua belas yang lalu orang akademik banyak tunduk kepada orang politik, tetapi kini ternyata orang akademik dan dari pusat pengajian tinggi semakin menjadi rujukan.

“Inilah peluang dan masanya untuk mereka pula mempengaruhi keadaan menerusi perhubungan mereka dengan orang politik (golongan pemimpin).

“Dulu menteri-menteri tak jumpa kita orang semua ini.  Tetapi sekarang semakin ramai, ada pula diskusi, ada Majlis Profesor dan sebagainya.

“Ini menunjukkan mereka ini sama ada merasai kebimbangan terhadap kedudukan diri mereka dan kedudukan politik mereka, semakin didampingi orang politik dan itu bagus.

“Jadi, di sinilah kita dapat salurkan kebenaran,” katanya.

0 Komen pengunjong :