Malaysia secara ‘de facto’ dijajah British, sebab itu merdeka dituntut


KUALA LUMPUR, 13 Sept — Penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar menegaskan negara ini secara “de facto” merupakan bekas jajahan kuasa asing dan itu sebabnya parti-parti politik memperjuangkan kemerdekaan daripada British sejak 1940-an.
Secara realiti, kata beliau, negeri-negeri Tanah Melayu telah berhadapan dengan segala bentuk ketidakadilan yang ada kaitan dengan pemerintahan penjajah.
“Disebabkan wujudnya penjajahan ‘de facto’, Umno pada tahun 1950-an dan Parti Kebangsaan Melayu sejak 1940-an telah menggerakkan perjuangan kemerdekaan daripada British.
“Mereka (pihak yang mendakwa tidak ada penjajahan) memfokus kepada isu — berbanding bentuk pemerintahan British,” kata Chandra dalam satu kenyataan hari ini.
Pengerusi Yayasan 1 Malaysia ini mengulas pandangan dua profesor mengenai polemik sama ada negara ini dijajah oleh British ataupun sebagainya.
Malah, semalam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa Malaysia tidak pernah dijajah oleh British tetapi menegaskan, penasihat-penasihat mereka telah bertindak seolah-olah pihak itu adalah pemerintah yang sebenar berbanding Raja-raja Melayu. Perdana Menteri keempat itu berkata, British telah bertindak seolah-olah “kita dijajah.”
“Sultan-sultan telah memutuskan untuk mengundang British datang dan menasihati mereka bagaimana untuk mentadbir negara ini.
“Dari segi itu, kita tidak ditawan. Tetapi hakikatnya, apabila British berada di sini, mereka bertindak seolah-olah kita dijajah,” kata beliau.
“Dalam lain perkataan, British tidak beri nasihat, mereka beri arahan,” kata beliau sambil menambah, penasihat memerintah dan pemerintah pula memberi nasihat.
Laporan media hujung minggu lalu menyebut berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu “tidak pernah terjajah”, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.
Kenyataan itu yang menyusul pandangan Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengundang kontroversi baru sementara menurut Profesor Datuk Dr Zainal Kling, “fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British).”
“Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik,” kata Zainal.
Katanya lagi, sejak Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 1874, tidak pernah tercatat dalam perjanjian itu bahawa negeri akan dijajah, sebaliknya hanya dilindungi atau dinaungi.
Penelitian ucapan beberapa perdana menteri dan juga tulisan mereka menunjukkan negara ini dijajah oleh British dan beberapa kuasa Eropah yang lain.
Antara lain, dalam ucapan ketika upacara perisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj antara lain berkata, “... hari ini satu bab baru dibuka dalam hubungan kita dengan Britai; status kolonial kita telah diberikan tempat sama rata yang penuh...”
Memoir terbaru Dr Mahathir berjudul “A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad” juga menyenaraikan perkataan kolonial atau penjajahan beberapa kali.
Maklumat yang diperoleh dari laman web pertubuhan Komanwel pula menyebut, “menerusi siri perjanjian antara 1983 dan 1930, pentadbir-pentadbir kolonial British menguasai hal ehwal luar sembilan kesultanan Melayu di Semenanjung.
Chandra, Presiden Just World Trust berkata, di tengah-tengah kontroversi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Bukit Kepong, beberapa pandangan yang diluahkan mengenai pemerintahan British mempunyai kesan tidak disengajakan yang mengelirukan orang ramai berbanding memperkayakan pengetahuan orang ramai.

0 Komen pengunjong :