PAS dakwa Mahathir rancang mahu jatuhkan Najib


KUALA LUMPUR, 14 Sept — PAS mendakwa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan pengaruhnya untuk menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebelum pilihan raya umum ke-13.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omarberkata  langkah Dr Mahathir yang menasihatkan Najib agar melewatkan pilihan raya umum ke-13 adalah satu bentuk tekanan terhadap Najib selaku Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
“Saya lihat dalam Umno sekarang berdepan isu calon atau isu parti sendiri yang mana mereka mahu meletakkan calon yang boleh menang... Tun Mahathir cuba beri mesej bahawa beliau (Najib) juga tidak berkelayakan sebagai seorang calon.
“Kalau kita lihat hari ini Najib menjadi liabiliti dan beban kepada Umno-BN, sebab itu diminta supaya dilewatkan pilihan raya umum ke-13, malah dalam Umno juga ada gesaan supaya Najib berundur sebelum pilihan raya umum ke-13,” katanya pada sidang media di sini.
Ahli Parlimen Pokok Sena ini menambah, ramai pemimpin Umno yang tidak mahu Najib terus mengetuai parti Melayu terbesar itu.
“Mereka tidak mahu Najib memimpin, sudah tentu orang yang jadi liabiliti akan menyebabkan Umno tidak boleh menang, bagi saya nampak macam Tun Mahathir kembali berperanan untuk memberi tekanan kepada Najib seperti mana tekanan yang diberikan kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dulu... cuma cara yang berbeza.
“Tun Mahathir beri tekanan supaya Najib berundur sebelum pilihan raya umum ke-13, Tun Mahathir jadi ‘mastermind’ untuk jatuhkan Najib dan dalam Umno sudah kucar-kacir, sudah tentu ada kumpulan (dalam Umno) yang mengikut telunjuk  Tun Mahathir,” katanya.
Kelmarin Dr Mahathir menasihatkan Najib agar melewatkan pilihan raya umum ke-13 dan merasakan bahawa Perdana Menteri sewajarnya menggunakan masa yang ada untuk meneliti calon-calon terbaik yang akan mewakili BN.
Bekas perdana menteri ditanya mengenai komen-komen mendakwa ketua-ketua bahagian parti komponen BN sedang bertelingkah satu sama lain untuk menjadi calon pilihan raya.
The Malaysian Insider ada membawa laporan sebelum ini bahawa kepimpinan Umno berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan sokongan ketua-ketua bahagian di sesetengah negeri khususnya berkaitan dengan soal calon.
“Saya merasakan bahawa jika ia diadakan lewat sedikit, OK. Perlu ada masa bagi Najib untuk membuat penilaian siapa yang harus dipilih sebagai calon,” kata Dr Mahathir.
Katanya, pendekatan “calon boleh menang” kemungkinan boleh mencetuskan masalah bagi perikatan itu kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak perpecahan antara pemimpin-pemimpin parti yang hendak bertanding.
Beliau berkata Najib sebagai pengerusi BN seharusnya menjelaskan kepada parti-parti komponen bahawa sokongan tidak bersyarat kepada calon-calon yang dipilih adalah penting meskipun mereka secara peribadi tidak menyokong calon yang dipilih.
“Najib seharusnya bertindak untuk menjelaskan mengenai calon-calon berpotensi... jika mereka tidak memberi sokongan kepada calon yang dipilih, mereka juga akan berhadapan dengan masalah,” katanya.
Pilihan raya umum ke-13 dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat ini.
Mandat semasa kerajaan pusat hanya akan berakhir April 2013.

0 Komen pengunjong :