SHAH ALAM, 8 Sept: Badan Bukan Kerajaan (NG0) Jingga 13 hari ini mendesak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, DatUK Seri Jamil Khir Baharom meletak jawatan dengan segera kerana tidak mahu bertanggungjawab terhadap laman sesawang yang dilihat telah menghina Agama Islam serta memesong akidah umat Islam dinegara ini dan juga seluruh dunia.
Ketuanya Fariz Musa yang ditemui pada satu sidang media yang diadakan di Kelab Shah Alam Selangor menyatakan kekecewaan terhadap pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang enggan menerima memorandum Jingga 13 dalam isu individu yang menghina Islam di internet semalam.
"Saya berasa amat kesal kerana kehadiran saya di pejabat JAKIM di Putrajaya semalam sewaktu ingin menghantar memorandum bukannya di hadiri oleh Ketua Pengarah mahupun wakil kepada menteri tetapi di hadiri oleh beberapa orang pihak polis.
"Dan yang paling kecewa sekali adalah jawapan JAKIM mengatakan pihaknya tidak mempunyai kuasa dan bukan dibawah bidang kuasanya untuk membuat dakwaan terhadap penulis atau laman sesawang tersebut melainkan pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Kenapa Jakim tiada kuasa bukankah jabatan ini bertindak untuk menaikkan martabat Agama Islam serta bertindak terhadap sebarang isu yang menghina Islam," jelasnya.
Dalam masa yang sama, beliau juga memberitahu bahawa agensi-agensi seperti Jakim mahupun Jais telah mengamalkan sikap pilih kasih atau "double standard" setiap aduan yang dilakukan.
"Jelas timbul sikap pilih kasih dalam urusan di jabatan-jabatan tersebut dan kita lihat mereka lebih tertumpu kepada agenda politik sahaja apatah lagi ia berkaitan dengan Pakatan Rakyat manakala isu yang jelas menghina Islam ini tidak dipandang berat langsung.
"Banyak laporan yang telah dibuat terhadap individu penghina Islam yang mengelarkan dirinya sebagai Makcik Hajjah Sitt Al Wuzara berikutan tindakan biadapnya menghina, mencaci, mencarut serta cuba memesongkan akidah umat Islam di negara ini melalui laman sosial Facebook, Twitter, Google Plus termasuk laman sesawang yang begitu mudah diakses oleh orang ramai di internet.
"Kami mendapati manusia biadap ini masih bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan berikutan JAKIM tidak memandang serius tentang perkara tersebut," katanya lagi.
Beliau juga mahukan martabat Jakim ini dipulihkan agar ia terus dihormat oleh seluruh rakyat dinegara ini terutamanya yang beragama Islam.
"Perletakan jawatan yang dilakukan oleh Jamil Khir dapat memulihkan kembali maruah Jakim dan kita lihat selama ini beliau hanyalah bertopengkan Islam dalam setiap urusan tetapi agenda utamanya hanyalah untuk kepentingan politik Umno.
"Selain itu juga, kami tidak akan berdiam dalam isu tersebut dan desakan demi desak akan yterus dilakukan sehinggalah pihak Jakim bertindak terhadap aduan tersebut. Kalau perkara ini masih gagal dilakukan serta kami tidak mendapat maklumbalas terhadap apa yang kami tegaskan disini maka bukan sahaja Jamil Khir perlu letak jawatan malah JAKIM juga perlu ditutup kerana fungsi utamanya dalam memastikan kesucian Agama Islam sudah menjadi agenda yang tidak penting lagi," sambung Fariz lagi.
Tambahnya lagi individu yang menghina Islam itu telah mula memainkan peranannya dalam memesongkan akidah umat Islam dan sasarannya mereka adalah pelajar-pelajar yang masih belum faham secara jelas tentang Islam.
"Individu tersebut telah mula menghantar email secara rambang kepada pelajar-pelajar dan kita lihat sasaran mereka lebih tertumpu kepada mereka yang masih belum faham tentang Islam sepenuhnya dan bagi mereka golongan ini terlalu mudah untuk mereka pengaruhi.
"Jamil Khir dan JAKIM perlu bertindak tegas dan jangan hanya tertumpu kepada isu politik rancangan Umno serta serangan mereka kepada Pakatan Rakyat dan kita lihat seperti apa yang berlaku di Selangor sekarang ini," kata Fariz lagi.
Semalam Jingga 13 seramai 13 orang anggota yang diketuai oleh Fariz Musa telah menyerahkan memorandum kepada SKMM dan juga Jakim dalam aduan individu yang menghina Islam di internet.
Memorandum tersebut telah diterima oleh pihak SKMM manakala Jakim enggan menerimanya dengan alasan isu tersebut bukan bidang kuasa Jakim.
0 Komen pengunjong :