PETALING JAYA, 26 Sept: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menuntut penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen bagi mengkaji garis panduan hak asasi manusia yang diamalkan di Malaysia.
Tuntutan tersebut terkandung dalam deklarasi Mahasiswa yang dicapai sebulat suara di Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional 3.0 bermula Sabtu lalu sehingga tengah hari semalam.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Shukri Abdul Razab berkata, tuntutan penggubalan Jawatankuasa Khas Parlimen ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Pengumuman itu, katanya dilihat sebagai tindakan populis Najib untuk meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum yang dikhuatiri berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.
"Dalam masa terdekat kita akan menuntut kerajaan menggubal Jawatankuasa Khas Parlimen untuk menyiasat garis hak asasi manusia dan menilai sama ada benar atau tidak hak asasi manusia ini tertunai di Malaysia," kata beliau pada sidang media sejurus berakhirnya kongres di Yayasan Selangor, dekat sini petang semalam.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan deklarasi mahasiswa mengenai hak asasi manusia itu dibawa ke peringkat antarabangsa untuk dibahaskan dan dibaikpulih.
"Saya tidak menolak kemungkinan isu hak asasi ini dibawa ke peringkat antarabangsa sebab hak asasi ini bagi semua negara banyak yang tercabar. Pemansuhan ISA hanya secebis tapi banyak lagi undang-undang yang menekan termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menghalang kebebasan mahasiswa untuk bersuara.
"Kita boleh bawa ke Suhakam tapi laporan Suhakam boleh dibakul sampahkan seperti yang berlaku sebelum ini," katanya.
Selain itu, deklarasi turut mencakupi tuntutan reformasi politik, ekonomi, sosiobudaya, pendidikan dan kewanitaan.
Deklarasi itu akan didokumentasikan dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, kerajaan-kerajaan negeri, parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam masa terdekat.
"Selain Perdana Menteri, kami akan serahkan deklamasi ini kepada semua pihak baik kerajaan BN atau Pakatan Rakyat dan kepada NGO-NGO.
"Deklarasi ini sebagai pengetahuan di peringkat kerajaan dan pembangkang bahawa ini menjadi prinsip mahasiswa yang perlu mereka ambil perhatian," tegasnya.
Kongres dua hari itu antaranya diisi dengan pembentangan kertas kerja oleh beberapa tokoh tanah air iaitu Prof Dr. Aziz Bari (pakar perlembagaan), Senator Mumtaz Md Nawi dan Prof Abu Hassan Hasbullah (pensyarah).
Selain SMM, kongres ini turut mendapat kerjasama Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Malaysia Youth And Students Democratic Movement (Dema), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Pro Mahasiswa Nasional (PRO MN), Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Gabungan Mahasiswa Insaniah (GMI), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) dan Sister In Movement (SIM).
0 Komen pengunjong :