SUNGAI PETANI: Keputusan kes Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim antara faktor penentu tarikh pilihanraya umum akan datang, kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
Setakat ini katanya, keputusan mahkamah dilihat masih berpihak kepada pendakwaraya, termasuk jangkaan menolak keterangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya sebagai saksi.
“Walau apapun cara, saya yakin Anwar akan dijatuhkan hukuman bersalah. Objektifnya mudah iaitu untuk memastikan Anwar tidak dapat bertanding,” kata beliau.
Namun begitu, kata Johari, sukar untuk meramalkan tarikh pilihan raya ekoran pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilihat masih kabur dan teragak-agak untuk membuat keputusan.
Beliau berkata, Najib sebelum ini mengumumkan beberapa langkah pembaharuan, termasuk mengingatkan penghapusan kuota bumiputera melalui Model Ekonomi Baru yang diperkenalkannya tahun lalu.
“Jadi untuk laksanakan pilihanraya, Najib perlu sesuatu yang kuat dan ada objektif yang jelas sebagai modal berkempen. (Tetapi sekarang ) Ini dengan ekonomi yang murung ditambah dengan masalah dalaman Umno (sukar bagi Najib membuat keputusan),” katanya.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mat Akin berkata sebarang keputusan samada Anwar didapati bersalah atau tidak akan mengambil kira keadaan politik semasa.
“Kalau (sekiranya) Anwar dibebaskan ia dapat meraih keuntungan politik kepada Kerajaan BN, tidak mustahil mereka akan melaksanakannya. Ini kerana Najib akan memberitahu rakyat bahawa mahkamah sebenarnya bebas dan negara mengamalkan demokrasi sekaligus menafikan konspirasi,” katanya.
Menurut Shamsul isu sebenar yang perlu diberi perhatian ialah Anwar sebagai warganegara berhak mendapat perbicaraan adil.
“Kita lihat hampir keseluruhan masyarakat antarabangsa melihat kecacatan yang serius dalam kes ini khususnya untuk perbicaraan yang adil”
“Apa saja keputusan akan berkait dengan Najib bersama kabinetnya dan ia akan memberi kepada implikasi terhadap ekonomi dan politik negara,” kata beliau.
0 Komen pengunjong :