PETALING JAYA, 27 Sept: Mahkamah koroner semalam memutuskan bahawa kematian pegawai kastam Ahmad Sarbaini Mohamad pada 6 April lalu adalah satu kemalangan.
“Keputusan ini sangat sukar dipercayai, tidak dapat diterima dan tidak konsisten dengan fakta kes.
“Mahkamah koroner memaksa kita untuk percaya bahawa Sarbaini yang secara sukarela datang ke pejabat SPRM di Cheras, kemudiannya mahu melarikan diri dengan merangkak keluar dari tingkap di aras tiga,” kata Naib Presiden PKR, N Surendran dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Katanya, tiada penjelasan diberikan tentang bagaimana dan mengapa rakaman CCTV selama 22 jam dipadam, yang mana ianya memaparkan detik-detik di mana Sarbaini menemui ajalnya.
Beliau berkata, paling membimbangkan adalah tindakan SPRM sepanjang kes Sarbaini.
Menurutnya lagi, sebagai institusi awam utama yang dibiaya sepenuhnya dengan wang rakyat, keutamaan SPRM seharusnya adalah untuk mendapatkan kebenaran perkara tersebut, menghukum mereka yang bertanggungjawab dan melaksanakan reformasi untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
Sebaliknya, kata beliau SPRM bertindak seperti individu yang terdesak untuk membersihkan namanya walau dengan cara apa sekalipun.
Baginya, SPRM bertindak sehingga ke tahap mengupah peguam Umno iaitu Shafee Abdullah untuk 'mempertahan' mereka sepanjang inkues.
“Perlu diperhatikan bahawa SPRM berkelakuan dengan cara yang sama semasa penyiasatan dan siasatan kematian Teoh Beng Hock, yang juga meninggal dunia semasa siasatan SPRM pada 16 Julai 2009,” ujarnya yang juga seorang peguam.
Dalam kedua-dua contoh, ujarnya SPRM bertindak menyerang reputasi mangsa-mangsa yang meninggal dunia secara terbuka sepanjang inkues dijalankan.
Surendran berkata, Sarbaini turut didakwa sebagai menerima rasuah meskipun beliau sudah tidak boleh menjawab mahupun mempertahankan dirinya terhadap dakwaan tersebut.
“Ini adalah memalukan dan tidak penting bagi pihak inkues tentang bagaimana beliau meninggal dunia.
“Asas kepada sistem perundangan kita adalah bahawa perbicaraan di mahkamah tidak seharusnya digunakan untuk memburukkan pihak yang telah tiada,” katanya lagi.
“Asas kepada sistem perundangan kita adalah bahawa perbicaraan di mahkamah tidak seharusnya digunakan untuk memburukkan pihak yang telah tiada,” katanya lagi.
Katanya, keyakinan rakyat terhadap SPRM adalah di tahap paling rendah susulan kematian misteri dua individu itu.
Tambahnya, kedua-duanya merupakan bapa yang meninggalkan keluarga yang selamanya akan menderita atas kehilangan insan yang disayangi yang meninggal dunia dengan tragis.
Kerajaan, ujar beliau seharusnya memikul tanggungjawab terhadap kegagalan dalam memberikan jawapan sebenar kepada pihak keluarga dan rakyat.
Katanya, keengganan kerajaan yang terus-menerus tidak mahu melaksanakan reformasi terhadap badan penguatkuasa seperti SPRM dan PDRM adalah punca sebenar terhadap masalah ini.
“Kami menyeru Kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat punca sebenar di sebalik kematian Ahmad Sarbaini.
“Kami menyeru Kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat punca sebenar di sebalik kematian Ahmad Sarbaini.
“Skop suruhanjaya ini mestilah termasuk prosedur operasi, pengambilan dan kaedah latihan SPRM serta membuat syor-syor pembaharuan yang amat mendesak dalam memastikan reformasi sistem terlaksana,” tegasnya.
0 Komen pengunjong :