SHAH ALAM 4 SEPTEMBER : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam tindakan Umno-Barisan Nasional (BN) terus-menerus menyerang Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong selain disifatkan sebagai simpatisan komunis sedangkan Putrajaya telah menghantar 11 pelarian Islam Uighur yang mencari perlindungan pulang ke negara komunis China.
Malah Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PKR secara keras mengutuk sifat hipokrit Umno-BN dan pelanggaran hak asasi manusia.
“Ketika umat Islam sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri dan Utusan Malaysia-milik Umno menyerang Mohamad Sabu sebagai simpatisan-komunis berikutan kenyataannya tentang insiden Bukit Kepong, kerajaan Malaysia telah menghantar 11 pelarian Islam Uighur yang mencari perlindungan pulang ke China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nik Nazmi, Etnik Uighur adalah orang Islam dari wilayah Xinjiang di China, katanya sambil menambah, kerajaan Malaysia memberi alasan tindakan diambil memandangkan 11 orang itu terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia.
“Agensi Pelarian PBB (UNHCR) telah menyatakan lima lagi yang masih ditahan telah memohon status pelarian dengan UNHCR dan agensi tersebut telah meminta untuk bertemu dengan kesemua 16 pelarian Uighur tersebut.
“Tetapi permohonan UNHCR tersebut telah ditolak dan UNHCR telah melahirkan kekesalan mereka terhadap keputusan kerajaan Malaysia tersebut,” katanya.
Ujar Nik Nazmi, Human Right Watch (HRW)juga telah mengutuk tindakan kerajaan memulangkan 11 pelarian Uighur tersebut dan mendesak agar kerajaan tidak memulangkan lima orang yang masih lagi ditahan di Malaysia. “Memulangkan mereka kepada kerajaan komunis China mendedahkan mereka kepada risiko serius diseksa.
“Kerajaan China secara berterusan telah menganggap permintaan penggunaan bahasa Uighur serta mengamalkan agama Islam sebagai keganasan, pemberontakan dan penderhakaan. OIC yang turut dianggotai Malaysia telah menyeru agar China mengatasi masalah asas penindasan masyarakat Uighur,” katanya.
HRW telah mendedahkan bahawa China telah menekan negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan Pakistan untuk memulangkan pelarian Uighur.
“Trend ini bermula di Kemboja pada 2008 ketika negara tersebut dipaksa memulangkan 20 orang Uighur yang dilindungi oleh UNHCR termasuk seorang wanita hamil dan dua anak kecil ke China.
“Di Amerika Syarikat, Perwakilan Republikan Chris Smith dan Senator Demokrat Sherrod Brown, yang mempengerusikan bersama Suruhanjaya Ekskekutif Kongres mengenai China juga telah mengutuk tindakan Malaysia terhadap pelarian Uighur tersebut,” katanya.
Katanya, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar. mendakwa bahawa pelarian Uighur itu terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia.
“Namun mengapakah mereka tidak didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia tetapi dipulangkan ke China?
“Mengapakah Malaysia membenarkan campur. tangan kerajaan komunis China di dalam isu yang bukan sahaja melibatkan hak asasi manusia tetapi nasib umat Islam yang kononnya diperjuangkan Umno selama ini?” Kata Nik Nazmi sambil berkata, “malang sekali bukti terbaru kelemahan pentadbiran pimpinan Datuk Seri Najib Razak berlaku bukan sahaja ketika umat Islam sedunia sedang meraikan Hari Raya tetapi ketika rakyat Malaysia meraikan Kemerdekaan negara.”
Justeru Nik Nazmi berkata, pihaknya mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk menjelaskan dengan serta-merta serta menjamin bahawa lima orang pelarian Uighur yang masih ditahan di Malaysia dilayan sebagai pelarian sah mengikut undang-undang dan amalan antarabangsa.
0 Komen pengunjong :