KUALA LUMPUR, 18 Julai: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang terkenal dengan sikap kelembutannya kini menyimpan satu perasaan benci kepada kerajaan.
Ini berikutan tindakan polis menyuraikan perhimpunan Bersih2.0 genap seminggu lalu melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa rakyat.
(Gambar: Pak Samad menurunkan tandatangan pada baju seorang anak muda yang hadir pada malam itu.)
"Tidak pernah saya rasakan begitu bencinya saya pada kerajaan. Itulah waktunya saya lebih benci," katanya yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad yang mengimbau kembali pengalamannya di KL Sentral, tempat beliau mula-mula bertembung dengan polis.
Beliau menyifatkan tindakan polis menangani perhimpunan damai itu secara bengis.
Katanya, seluruh rakyat Malaysia yang telah menyertai himpunan itu terus mengkritis kerajaan Umno BN apabila melihat keganasan yang dilakukan oleh pihak polis.
Justeru, beliau kesal kerana pemimpin Umno BN membuat berbagai helah menyatakan polis yang menjalankan tugas ketika itu tidak melakukan tindakan yang kasar kepada rakyat sebaliknya menuduh rakyat yang bertindak kasar.
“Kata-kata itu menjadi luka berdarah buat rakyat Malaysia dan saya percaya Umno BN akan terkubur dalam PRU ke 13 nanti,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Yellow Saturday di Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar malam kelmarin. Turut berucap ialah dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar serta anggota Unit Amal yang difitnah membawa pisau semasa himpunan Bersih 2.0, Abdul Razak
Pak Samad juga menceritakan peng.alamannya dalam himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
“Sebelum (gas) ditembak, ada himpitan dari belakang, kelompok polis juga. Jadi kami agak tersepit, seperti di (Hospital) Tung Shin, (kami) tiada jalan alternatif lain, jadi go through saja.
“Menghabiskan hari yang panjang daripada pagi sehinggalah disekat polis kali terakhir kira-kira 300 meter daripada Istana Negara di sebelah petang untuk menyampaian Memorandum yang merupakan amanah rakyat untuk di sembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, amat mengecewakan tiada pertimbangan yang sebaiknya oleh polis.
"Mata saya telah mengalami kecederaan akibat tembakan gas water canon, mereka (Polis dan FRU) nampak saya ketika itu, kalau boleh mereka hendak makan saya”.
“Berbeza dengan demonstrasi pertamanya pada Mac 2007 bagi membantah dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kali ini saya rasakan ujiannya terlalu kuat dengan menempuh pelbagai rintangan.
“Sepatu Nike saya juga hilang apabila dihimpit dengan ramai rakyat disitu lebih-lebih lagi apabila polis datang mengejar rakyat yang berhimpun di situ.
“Saya bukan sahaja hilang capal, tetapi peralatan yang saya bawa seperti garam, tuala kecil dan air mineral yang dibawa sebagai alat pelindung saya tepaksa diberikan orang lain apabila salah seorang peserta himpunan disitu kelihatan nafasnya menjadi sesak meminta-minta agar diberikan bantuan.
“Saya berikan semua peralatan saya kepada beliau untuk menyelamatkan dirinya, jika tidak mungkin orang itu juga mengalami nasib yang serupa seperti arwah Baharudin.
"Saya seharusnya diapit dua orang peguam, (tetapi) mereka juga hilang apabila kami semua dikejar oleh polis dan FRU untuk mengelak diri daripada ditembak dengan gas.
“Pada Sabtu itu, pakaian saya sudah basah lencun akibat hujan dan dengan tembakan meriam air, saya terus berjalan kira-kira 10 kilometer menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Saya berkaki ayam separuh jalan, berbatu-batu. Ada beberapa anak muda yang nampak saya ketika itu hendak beri saya sepatu Nike tetapi saya menolaknya kerana saya fikir sepatu itu cantik sangat dan biarlah saya bersusah payah untuk masa depan anak bangsa saya sendiri.
"Kemudian saya didatangi oleh seorang lagi anak muda dengan memberi saya sepatu yang besar, saya menerimanya kerana saya fikir perjalanan saya jauh dan banyak halangan yang perlu saya tempuhi untuk menyerahkan Memorandum kepada Agong. Ini merupakan satu pengalaman pahit dan tidak mungkin saya lupakan.
"Tidak pernah saya melihat satu kelompok orang muda yang berbilang bangsa itu bersatu oleh satu cita-cita. Itu sangat membanggakan.
“Saya berpesan berulang kali kepada generasi muda terutamanya kalian seharusnya bertekad bersatu hati untuk mengubah pentadbiran demokrasi Negara ini dalam pilihanraya umum ke -13 nanti, demi masa depan anak cucu kita.
“Orang tua mungkin tidak mampu lagi untuk bekerja kuat, namun kita akan sentiasa memberi sokongan padu bagi menukar pentadbiran kerajaan baru," kata Pak Samad Said disambut laungan Allahu akbar hadirin.
0 Komen pengunjong :