PUTRAJAYA: Polis melakukan keganasan terhadap orang awam disebabkan tekanan politik, sekaligus memberikan imej buruk kepada pihak berkuasa itu, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata demikian ketika program “Debat Kematangan Demokrasi di Malaysia’ bersama Ketua Pemuda Umno Putrajaya, Datuk Zaki Zahid yang diadakan di sini malam tadi.
“Saya tak salahkan polis kerana menjalankan tugas mereka dan sekarang polis dapat imej buruk kerana ahli politik telah menekan mereka,” katanya merujuk kepada insiden keganasan yang dilakukan polis terhadap peserta Bersih pada 9 Julai lalu.
Nik Nazmi juga menegaskan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tidak mempunyai niat menggulingkan Kerajaan Umno-BN dan hanya mahukan transformasi sistem pilihan raya dilaksanakan.
“Bersih 2.0 telah menemui kerajaan dan SPR banyak kali sebelum 9 Julai, namun tiada usaha proaktif yang diambil,”
“Itu yang menyebabkan Bersih 2.0 turun ke jalanan, untuk meneruskan tekanan agar transformasi pilihan raya dilakukan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia.
Memetik ungkapan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail, Nik Nazmi berkata sebuah kerajaan yang kuat adalah kerajaan yang tidak takut kepada demokrasi.
Beliau dalam pada itu menyambut baik program debat tersebut dan menganggap wacana sebegini harus diteruskan dari masa ke semasa.Malah beliau menganggap ia merupakan hikmah Himpunan Bersih 2.0 9 Julai yang menunjukkan rakyat kini semakin matang dalam proses demokrasi.
Sementara itu, Zaki pula mengakui dan bersetuju bahawa senarai pemilih perlu disemak dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
“Pemuda Umno juga mahu daftar pemilih disemak. Malah saya setuju pendapat (Datuk) Saifudin (Abdullah) agar struktur SPR perlu dikaji. Hakikatnya kami mahu tapi semua ini boleh dilakukan tanpa protes jalanan,” kata Zaki.
Menurut Zaki, Umno tidak gentar untuk bersaing dalam pilihan raya yang adil dan menerima kenyataan sekiranya parti itu ditakdirkan kalah pada pilihan raya umum kelak.
Dialog dianjurkan oleh Pemuda UMNO Putrajaya diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Kejiranan Putrajaya turut menampilkan Ketua Umum Dewan Pemuda Masjid, Dr Muhamad Nawar Ariffin sebagai panel.
Kira-kira 100 hadir dalam dialog tersebut termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.
Majlis yang berlangsung dari jam 9 hingga 11 malam itu mendapat sambutan yang menggalakkan dalam sesi soal jawab antara orang awam dan ahli panel tersebut.
0 Komen pengunjong :