KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR N Surendran hari ini disoal siasat polis berhubung kenyataannya yang mengaitkan tindakan polis dengan cubaan bunuh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Surendran, yang pada asalnya hadir ke Balai Polis Travers sebagai peguam mewakili pengawal peribadi Anwar, Fayyadh Afiq Al-Bakry untuk merakam kenyataan, secara tiba-tiba diarah pegawai polis berada dibilik berasingan untuk disoal.
Beliau disoal siasat kira-kira 45 minit dibawah Akta 505(b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Surendran sebelum ini memberi kenyataan bahawa kecederaan dialami Fayyadh akibat terkena tembakan kanister gas pemedih mata semasa perhimpunan Bersih 9 Julai lalu itu adalah satu cubaan polis membahayakan nyawa Anwar selepas insiden ‘mata lebam’.
Sehubungan itu, beliau mendesak agar siasatan kes tersebut diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh.
Kenyataan itu dibuatnya kepada media diluar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi 20 Julai lalu selepas Fayyadh membuat laporan polis berhubung tindakan polis terhadap peserta Bersih 2.0 diterowong KL Sentral sehingga membuatkannya tercedera.
Surendran bagaimanapun menganggap tindakan polis menyoalnya itu sebagai tidak relevan.
Malah bertegas akan tetap dengan kenyataan asalnya bahawa polis bertindak ganas terhadap peserta Bersih 2.0 sehingga wujudnya situasi ‘cubaan bunuh Anwar’.
“Tidak ada sebarang notis atau dimaklumkan daripada polis yang mengarahkan saya hadir beri keterangan pun sebelum ini…mereka cuba ambil kesempatan.
“Saya kecewa kenapa mereka tak siasat salah laku polis yang menembak gas pemedih mata sehingga boleh membahayakan orang awam, tetapi menyiasat orang yang melaporkan salah laku mereka pula,” katanya.
Tidak relevan
“Pegawai penyiasat juga bertanya beberapa soalan yang tidak relevan, antaranya siapakah Khalid Samad dan apa maksud kanister….sila terangkan.
“Begitu juga dengan soalan ‘adakah saya seorang pakar gas pemedih mata’.
“Bagi saya tak perlu nak jadi seorang pakar gas pemedih mata untuk buat laporan tentang keganasan polis,” katanya yang diwakili Pengarah Biro Guaman PKR Latheefa Koya semasa keterangannya diambil.
Beliau bagaimanapun berkata siasatan polis ini tidak akan menghalang pihaknya daripada terus mendesak agar siasatan yang telus dilakukan terhadap keganasan ke atas Fayyadh dan peserta Bersih 2.0 yang lain.
Sementara itu, Fayyadh hari ini turut diambil keterangannya kira-kira dua jam oleh pegawai penyiasat ASP Arikrishnan berhubung laporan polisnya sebelum ini.
Fayyadh, 25, dalam laporan polisnya sebelum ini mendakwa cedera ditembak kanister gas pemedih mata sehingga pecah tulang pipi kiri ketika cuba melindungi Anwar daripada sebarang ancaman.
Peguam mewakilinya, Fadiah Nadwa Fikri berkata kesemua 30 soalan dapat dijawab dengan baik dan konsisten dengan laporan polis yang dibuatnya.
Ia termasuk siasatan laporan perubatan Fayyadh daripada Pusat Perubatan Pantai.
“Pegawai polis sebelum ini dah soal siasat doktor hospital yang merawat Fayyadh dan mereka akui terkejut mendengar penerangan daripada doktor tentang betapa seriusnya kecederaan yang dialami Fayyadh,” katanya.
0 Komen pengunjong :