PAS sedia jumpa Agong

PETALING JAYA: PAS berbesar hati dengan keprihatinan Yang Di-Pertuan Agong sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara ini.
Semalam Baginda bertitah, dalam setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.
Sehubungan itu, kata  Datuk Seri Abdul Hadi Awang, PAS bersedia untuk menghantar wakil bersama dengan Bersih 2.0 dan rakan politik dalam Pakatan Rakyat serta  pihak yang cintakan keamanan untuk berunding dan seterusnya menghadap ke Bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini.
Kata Presiden PAS, kesan dari salah faham ini telah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi oleh pihak berkuasa.
“PAS percaya bahawa asas penyebab utama bantahan ini perlulah digali selidik dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan, terutamanya oleh pihak kerajaan yang sedang memegang tampuk pemerintahan.
“Ini juga selari dengan  titah Seri Paduka Baginda Tuanku supaya pihak kerajaan wajar untuk melaksanakan amanah dengan secara adil dan bijaksana.
“Tercetusnya idea bantahan ini adalah kerana terlalu banyak kelemahan dalam amalan pilihan raya di Malaysia dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik.
Reformasi pilihan raya
“Keadaan ini semakin buruk walaupun kita telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun dan sudah 12  kali pilihan raya umum tetapi kerajaan Barisan Nasional telah banyak menyalahgunakan kuasa mereka di atas nama demokrasi, walaupun negara-negara di seluruh dunia sudah banyak melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu Bernama melaporkan, PAS memilih Abdul Hadi, timbalannya Mohamad Sabu dan Penolong Setiausaha, Syed Azman Ahmad Nawawi untuk menghadap Yang Di-Pertuan Agong.
Bersih merancang mengadakan perhimpuna besar-besaran di Kuala Lumpur Sabtu ini bagi menuntut satu pilihan raya yang adil dan bebas.
Bagaimanapun, kerajaan mengisytiharkan perhimpunan tersebut sebagai haram    dan sehingga ini hampir 200 orang telah ditangkap.
Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga dalam sidang media hari ini pihaknya mahu menghadap Agong dan bersedia untuk membatalkan perhimpunan Sabtu ini.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi berkata,  titah Yang Di-Pertuan Agong sangat sesuai memandangkan suasana yang berlaku hari ini tidak mematuhi undang-undang.
Katanya, pasukan keselamatan yang sepatutnya menjaga keselamatan telah bertindak sesuka hati seperti menceroboh premis persendirian.

0 Komen pengunjong :