KUALA LUMPUR, 30 Julai — Lim Kit Siang mengingatkan Datuk Seri Najib Razak bahawa kredibilitinya sebagai Perdana Menteri masih “compang-camping” ekoran cara pentadbiran beliau mengendalikan beberapa isu semasa manakala pembebasan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) semalam tidak mampu membawa apa-apa perubahan.
“Ia adalah kegagalan paling besar kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri, menyebabkan kewibawaannya compang-camping — itu sebabnya kenyataan beliau semalam bahawa pembebasan enam pemimpin PSM, yang ditahan di bawah Ordinan Darurat, adalah ekoran peruntukan undang-undang, menjadi bahan senda,” kata Penasihat DAP ini.
Pemimpin veteran pembangkang ini memberitahu, Najib tidak betul jika beliau beranggapan bahawa kredibilitinya sudah pulih dengan pembebasan enam pemimpin PSM semalam.
Justeru kata ahli Parlimen ini, Najib perlu mengambil empat tindakan dengan segera jika mahu memulihkan kredibilitinya.
Kata Lim (gambar), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kesemua enam pemimpin PSM dan memansuhkan Ordinan Darurat dan undang-undang pencegahan yang lain dan Najib juga sewajarnya menarik balik pengharaman Bersih 2.0 dan menggugurkan pendakwaan ke atas mereka yang ditahan kerana memakai kemeja-T warna kuning Bersih 2.0.
Selain itu Lim juga meminta Najib mengadakan suruhanjaya diraja bagi mewujudkan sistem pilihan raya yang bebas dan adil.
Lim juga menuntut Najib mengambil tindakan keras ke atas Utusan Malaysia kerana terus membawa tulisan-tulisan berbaur hasutan dan bahaya selain mencetuskan ketegangan kaum.
Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga menggesa Perdana Menteri mengenakan tindakan ke atas pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang disenaraikan dalam lapoan suruhanjaya diraja berkaitan dengan kematian Teoh Beng Hock.
“Hanya apabila Najib bersedia untuk menangani empat isu ini, maka beliau boleh memulihkan kredibiliti, yang terjejas teruk sejak lima minggu lalu ekoran kesilapan kerajaan menangani perhimpunan Bersih 2.0,” kata Lim lagi.
Semalam, Najib berkata kerajaan menerima baik keputusan polis membebaskan enam aktivis PSM dan keputusan itu dibuat berdasarkan pengamatan dan siasatan yang dilakukan oleh polis.
Bagaimanapun, beliau berkata terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya terhadap enam aktivis tersebut.
Mereka yang dibebaskan ialah Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, 56, setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P.Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33 dan M.Sukumaran, 50, timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R.Sarat Babu, 25.
Mereka ditahan pada 2 Julai lepas di Seberang Prai, Pulau Pinang mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan).
0 Komen pengunjong :