Lagu ‘Yellow Submarine’ sambut Najib, Rosmah di London

LONDON: Kumpulan rakyat Malaysia di sini, mengadakan demontrasi  tiga hari berturut-turut dengan menampil tema kuning – warna rasmi Bersih bagi ‘menyambut’ kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansur.
Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Ginie Lim, berkata demontasri bermula 13 hingga 15 Julai lalu itu bertujuan mendesak enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) tanpa bicara dibebaskan.
Pada kenyataan media, beliau berkata, wakil Amnesty International, Josef Roy; aktivis hak asasi manusia, John Liu dan anggota Sekretariat Bersih Andrew Khoo, turut menyertai demontrasi berkenaan.
Demontrasi 'sambut' Najib di Downing St
“Perhimpunan untuk “menyambut” kunjungan rasmi Najib diadakan pada 13 Julai di No 10 Downing Street sempena pertemuan Najib dan Perdana Menteri Britain, David Cameron. Esoknya pula di Mansion House sempena pertemuan Najib dengan komuniti peniaga dan pelabur. Lebih 30 orang hadir.
“Perhimpunan bermula jam 7 hingga 8 malam itu berjaya menarik perhatian pengunjung hotel dan hadirin jamuan makan malam bersama Najib dan Rosmah. Perhimpunan terakhir semalam (15 Julai) di depan Hotel InterContinental, London. Ia adalah yang terbesar, lebih 50 warga Malaysia berbaju kuning menyertainya,” kata beliau.
Ginie berkata, mereka membawa kain rentang terpapar perkataan  Yes to Tourism, No to Torture dan placard seperti Free Our Leaders Now, Stop Detention Without Trial, selain melaungkan  ungkapan Shame, Shame, Shame on You Najib.  Lagu kumpulan band terkenal Beatles Yellow Submarine turut dimainkan,” katanya.
Sepanjang perhimpunan, beliau berkata, Najib mahupun sepupunya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku Menteri Dalam Negeri, langsung tidak sanggup bertemu, apatah lagi bersalaman dengan peserta perhimpunan.
“Hanya Menteri Luar Negeri, Anifah Aman yang bertemu peserta perhimpunan dan berdialog 15 minit di luar hotel. Anifah sekali lagi mempertahan tindakan polis menyurai perhimpunan Bersih dan tangkapan enam aktivis ditahan di bawah EO.
Mengulas kenyataan Anifah, Ginie berkata,  Najib perlu menghormati hak rakyat untuk berhimpun dan bersuara kerana ia asas sistem demokrasi, sebaliknya pemerintahan kuku besi akan ditumbangkan rakyat.
“Kerajaan yang tidak menjunjung prinsip demokrasi sebaliknya mengamalkan pemerintahan kuku besi pasti akan ditumbangkan rakyat sepertimana di Tunisia dan Mesir baru-baru ini dan negara authoritarian yang terdahulu,” katanya.

0 Komen pengunjong :