PRU 13: PAS tetap bersama Pakatan

KUALA LUMPUR, 3 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan PAS akan tetap bersama rakan Pakatan Rakyat yang lain membuat perubahan menggantikan Umno BN.

Jelasnya walaupun dasar dan konsep antara PAS, PKR dan DAP berbeza, namun ketiga-tiga komponen tersebut tetap mempunyai matlamat sama memperjuang keadilan untuk semua.

"Walaupun mungkin adanya perbezaan dasar dan konsep dengan rakan-rakan yang lain, tetapi banyak titik persamaan dalam pelaksanaan dan objektifnya dalam aspek pentadbiran dan penglibatannya ke dalam masyarakat majmuk.

"Walaupun berbeza dalam perkara halal dan haram, tetapi kita tentunya bersama dalam menegakkan adil untuk semua dan menentang kemungkaran, kezaliman dan penyelewengan  seperti rasuah dan sebagainya,"katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada muktamar PAS Pusat di Dewan Datuk Faghil Nor di KUIZM, Taman Melewar hari ini.

Tegasnya, kerjasama politik atau Tahaluf Siyasi yang diamalkan oleh PAS, telah menjadi sebahagian daripada Feqah Politik Islam dan ianya berbeza kerjasama wala’ antara Umno dalam BN, yang mengorbankan prinsip dan menghilangkan jati diri Islam daripada bangsa Melayu yang beragama Islam, seterusnya menghanyutkan Islam yang sebenar.

Berucap atas tema "Membangun negara berkebajikan", Tuan Guru Abdul Hadi berkata, PAS adalah parti yang paling berpengalaman, termasuk menjadi pembangkang hanya dengan satu kerusi.

"Di sepanjang perjalanan beberapa dekad dan generasi, kita adalah parti yang paling berpengalaman, kita berpengalaman menjadi pembangkang hanya dengan satu kerusi, menjadi kerajaan diperingkat negeri, menyertai kerajaan pusat dan kosong tanpa kerusi, kita pernah bersendirian, pernah menyertai kerajaan campuran dan  kita juga melaksanakan tahaluf siyasi,"katanya.

Sehubungan itu katanya, PAS akan terus bergerak dan tetap istiqamah di atas landasan Islam.

"Kita tidak akan mengubah matlamat perjuangan kita walau apa pun gelombang, ribut dan badai yang memukul bahtera kita, dan ternyata bahtera kita masih kukuh dan selamat hingga ke hari ini,"katanya disambut laungan hadirin.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu PAS memilih pendekatan demokrasi kerana bertindak secara muwajahah silmiyyah, sama ada menang menjadi kerajaan, atau pembangkang atau melahirkan bantahan secara terbuka di mana sahaja ruang yang ada.

Bagaimanapun PAS perlu menggunakan uslub terbaik untuk mengembalikan umat Islam khususnya masyarakat Melayu yang digulakan dengan semangat perkauman sempit dan tidak berpijak kepada dasar Islam yang sebenar.

Mengulas tema ucapan dasarnya itu, presiden PAS itu berkata, perjuangan mengembalikan kebajikan rakyat adalah paling utama mendepani Pilihan Raya Umum ke-13 yang dibayangkan sangat sengit berbanding sebelumnya.

Rakyat katanya kini tertekan dengan dasar Umno BN yang memangsakan rakyat untuk mendapat hasil kepada negara.

Ianya termasuk mengurangkan subsidi kepada rakyat dengan menaikkan harga barangan.

Oleh itu kata beliau, negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat perlu menunjukkan komitmen berkebajikan kepada rakyat agar mereka boleh melihat keikhlasan pakatan menjaga kebajikan rakyat berbanding BN.

"Maka di atas komitmen ini, tibalah masanya pula kita memperkukuhkan konsep dan objektif kebajikan secara menyeluruh dalam urustadbir yang kita bawa.

"PAS wajib melenyapkan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang diamalkan Umno BN,"katanya.

0 Komen pengunjong :